Kapasiti jalur lebar institusi pendidikan Mara di Sabah, Sarawak dipertingkat

Kapasiti jalur lebar institusi pendidikan Mara di Sabah, Sarawak dipertingkat

KUALA LUMPUR,. Majlis Amanah Rakyat (MARA) sentiasa memastikan perkhidmatan jalur lebar di institusi pendidikannya di Sabah dan Sarawak berfungsi dengan baik, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah, berkata semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) di Sabah dan Sarawak menerima peningkatan kelajuan jalur lebar daripada 30 Megabit sesaat (Mbps) ke 100 Mbps.

Hasbi memberi contoh di Sabah, kelajuan jalur lebar MRSM Kota Kinabalu dinaikkan kepada 100 Mbps daripada 45 Mbps manakala MRSM Semporna pula dinaikkan daripada 30 Mbps kepada 50 Mbps.

Sementara itu di Sarawak, kelajuan jalur lebar di MRSM Kuching dipertingkat daripada 30 Mbps kepada 50 Mbps dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu daripada 50 Mbps kepada 100 Mbps.

“Sekiranya ada keperluan mendesak, kami akan memohon kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Zaiedi Suhaili hari ini.

Zaiedi ingin tahu sejauh mana MARA mengambil perhatian serius bagi memastikan kualiti perkhidmatan Internet dan jalur lebar di MRSM, IKM serta insitusi pendidikannya di Sabah dan Sarawak yang masih rendah ketika ini.

Terdahulu, Hasbi berkata kapasiti jalur lebar yang ditetapkan setakat Disember tahun ini bagi institusi pendidikan dan pusat pentadbiran MARA antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) adalah 50 ke 100 Mbps, Kolej MARA (50 ke 150 Mbps), ibu pejabat MARA (200 Mbps) dan pejabat MARA negeri (30 Mbps).

Beliau berkata kapasiti itu tidak terhad dan MARA sentiasa memohon peningkatan secara Bandwidth On Demand (BOD) melalui Portal MyGov*Net Service Management System (MyGovServ) mengikut keperluan.

“MARA menerima peningkatan talian jalur lebar bermula Mac tahun lepas berikutan peningkatan penggunaan platform dalam talian sebagai medium komunikasi rasmi termasuk untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), mesyuarat serta capaian sistem dalaman melalui Rangkaian Peribadi Maya (VPN),” katanya semasa menjawab soalan asal Zaiedi.

Zaiedi mahu tahu sejauh mana sasaran dan komitmen kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan MARA dan agensi kementerian dilengkapi dengan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 3,000 Mbps agar jurang digital pelajar luar bandar dapat dirapatkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This