RM300 BMT dibayar kepada lebih 200,000 pekebun kecil 24 Dis ini

RM300 BMT dibayar kepada lebih 200,000 pekebun kecil 24 Dis ini

KUALA LUMPUR,. Seramai 232,319 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima bayaran kedua Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2021 sebanyak RM300 seorang pada 24 Disember ini.

Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata bayaran tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM139 juta.

“Seramai 190,649 orang atau 82 peratus daripada pekebun kecil yang memohon BMT 2021 telah menerima bayaran pertama RM300 pada 19 Nov lepas dan bayaran kepada baki 41,670 penerima akan dikreditkan ke akaun mereka dari semasa ke semasa sebelum berakhirnya Disember ini,” katanya pada majlis perasmian Hari Inovasi RISDA di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, tiga negeri mencatatkan penerima tertinggi bantuan BMT 2021 iaitu Kelantan seramai 36,609 orang, diikuti Kedah (30,825 orang) dan Sarawak (30,123 orang).

Mohd Salim berkata bantuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha dan keprihatinan kerajaan mengurangkan beban pekebun kecil yang menghadapi penurunan hasil akibat musim tengkujuh.

Katanya individu yang layak menerima BMT 2021 adalah pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Piala Anugerah Model Perancangan Strategik RISDA Gemilang kepada Pejabat RISDA Cawangan Kelantan, yang juga menerima wang tunai RM5,000.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This