Kebajikan penghuni Selangor, Malayan Mansion dijaga – Annuar Musa

Kebajikan penghuni Selangor, Malayan Mansion dijaga – Annuar Musa

NUR FARHANA ABDUL MANAN | | 9 April 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membekalkan makanan kepada penghuni bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India yang memerlukan biarpun mereka bukan warganegara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, penghuni di tiga lokasi termasuk di Menara Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah tidak dibenarkan keluar dari premis berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut.

Menurutnya, bagi yang berkemampuan pihak berkuasa membenarkan mereka menempah makanan dari luar dan penghantar dibenarkan menghantar makanan ke lokasi tersebut.

Katanya, pihaknya menghantar bekalan makanan kering untuk keperluan penghuni di Menara Plaza City One.

Namun katanya, hasil tinjauan mendapati penghuni di Selangor Mansion dan Malayan Mansion kebanyakannya tidak boleh memasak kerana kebanyakan ruang dapur turut digunakan sebagai tempat tinggal dan mereka hanya bergantung kepada makanan yang dibeli di luar.

“Sememangnya kalau ikut peraturan, kebiasaannya kedutaan negara masing-masing akan ambil tanggungjawab terhadap warganegara mereka.

“Saya dah adakan pertemuan dengan kedutaan mereka tapi setakat ini belum begitu jelas apakah sumbangan yang dapat mereka lakukan walaupun kita telah berikan beberapa pengesyoran,” katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, 97 peratus daripada penghuni di kedua-dua lokasi berkenaan adalah wargan negara Bangladesh, India dan Pakistan.

Katanya, pihaknya tidak mahu melihat warga asing berkenaan mengalami kesusahan dan berdepan isu ketiadaan makanan.

“Saya tidak mahu lihat mereka dalam keadaan susah namun amalan biasa warga asing tidak ditanggung daripada dana kerajaan.

“Jadi saya mohon bantuan rakyat dan NGO yang boleh menyumbang, berkat sokongan mereka, kita akan bekalkan makanan sekurang-kurangnya dua kali sehari kepada1,850 penghuni di dua kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar menggesa penghuni di tiga lokasi yang kini menjalani PKPD di Kuala Lumpur supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat seorang penghuni yang bertindak melarikan diri selepas PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu.

“Penghuni di ketiga-tiga lokasi tidak dibenarkan tinggalkan bangunan itu, mereka harus mematuhi penguatkuasaan lebih ketat termasuk pemeriksaan kesihatan dan pengambilan data kerana mereka dianggap sebagai pesakit dalam pemantauan (PUI) Covid-19.

“Beri kerjasama kepada petugas perubatan, pihak berkuasa dan keselamatan. Saya dapat tahu ada seorang yang melarikan diri sedangkan sebenarnya tak perlu buat demikian, petugas kesihatan di situ untuk membantu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )