Kerajaan pimpinan Muhyiddin sah sehingga keabsahannya ditentukan di Parlimen – Noh

Kerajaan pimpinan Muhyiddin sah sehingga keabsahannya ditentukan di Parlimen – Noh

SHAH ALAM —  Ahli Parlimen Tanjong Karang (Selangor) Tan Sri Noh Omar menyatakan bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, adalah masih sah sehingga Parlimen bersidang pada September nanti, bagi menentukan keabsahan kedudukan Perdana Menteri.

“Pendek kata kita bersetuju bahawa kita kerajaan yang ada hari ini masih sah sehinggalah pengabsahannya diputuskan dalam Parlimen nanti,” katanya menerusi sidang media dalam talian hari ini.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju dengan pandangan ahli UMNO yang lain, bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hendaklah mengadakan perjumpaan bagi memberikan penerangan pada Ahli Parlimen UMNO, berhubung keputusan parti menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

“Ahli Parlimen nak dapatkan penjelasan yang lebih jelas mengenai keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi, kerana tidak semua Ahli Parlimen terlibat dalam mesyuarat itu kecuali Ahli Parlimen seperti saya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seramai 31 Ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan pendirian untuk terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), demi mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara ketika keadaan pandemik COVID-19 masih meruncing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan mereka adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan ditentukan keabsahannya di Parlimen nanti.

–BERNAMA

 

CATEGORIES
TAGS
Share This