Kes COVID-19 global lepasi 30 juta

Kes COVID-19 global lepasi 30 juta

BEIJING,. Kes COVID-19 global melepasi 30 juta pada Khamis, menurut Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem (CSSE) di Johns Hopkins University, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Xinhua.

Jumlah kes global mencapai 30,003,378, dengan 942,989 kematian di seluruh dunia setakat jam 6.22 petang waktu tempatan (2222 GMT) New York, seperti yang ditunjukkan data CSSE.

Di Brazil, angka kematian COVID-19 menghampiri 135,000 setelah lebih 829 pesakit meninggal dunia akibat pandemik itu dalam 24 jam terakhir, meningkatkan jumlah kematian kepada 134,935, kata Kementerian Kesihatan.

Dalam tempoh sama, ujian mengesan 36,303 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak permulaan pandemik di sini kepada 4,455,386.

Costa Rica pula mencatatkan sejumlah 60,818 kes COVID-19 yang disahkan setelah Kementerian Kesihatan melaporkan 1,302 kes baharu dalam 24 jam terakhir.

Sementara itu, 17 kematian dicatatkan, menjadikan jumlah kematian nasional ialah 666, kata kementerian itu.

Di Tunisia, pemerintah meletakkan semua 24 wilayah negara itu sebagai zon merah, tahap keparahan tertinggi dari segi penyebaran COVID-19, lapor Tunis Afrique Presse (TAP).

Pengumuman itu dibuat apabila lebih daripada 10 jangkitan COVID-19 per 100,000 penduduk telah dicatat di 24 wilayah, kata Pusat Pemantauan Nasional Wabak dan Penyakit Baharu.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This