Koronavirus: Thailand sahkan 19 kes termasuk satu kes jangkitan tempatan

Koronavirus: Thailand sahkan 19 kes termasuk satu kes jangkitan tempatan

BANGKOK,. Thailand hari ini mengesahkan lima kes baharu 2019 novel koronavirus dengan satu kes jangkitan tempatan pertama, menjadikan keseluruhan 19 kes positif.

Setiausaha Kesihatan Tetap Dr Sukhum Karnchanapimai berkata seorang pemandu teksi tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China disahkan dijangkiti virus itu.

“Ujian makmal mengesahkan pemandu teksi itu positif koronavirus. Dia tidak mempunyai rekod perjalanan ke kawasan dilanda wabak. Ia merupakan jangkitan tempatan pertama di negara ini.

“Bagaimanapun, tiga ahli keluarganya disahkan negatif. Kami akan memantau mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini, dan menjelaskan bahawa keadaan lelaki itu semakin baik.

Pemandu teksi itu sakit dan menunjukkan simptom dijangkiti virus berkenaan selepas membawa sekumpulan pelancong China mendapatkan rawatan di bandar raya itu dua hari lepas.

Sementara itu, Sukhum berkata 19 kes yang disahkan itu termasuk empat pelancong China dari Wilayah Hubei. Tujuh daripada 19 telah dibenarkan keluar hospital.

Buat masa ini terdapat 280 kes disyaki dilaporkan di Thailand.

Sukhum berkata pengenalpastian kes yang disahkan menunjukkan Thailand telah menjalankan pengawasan yang berkesan terhadap penyakit itu.

Beliau berkata pakar-pakar telah menilai kemungkinan jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan di Thailand masih rendah. Bagaimanapun, beliau berkata Thailand tidak akan mengambil mudah perkara itu.

Sukhum berkata pengawasan ketat akan berterusan dan orang ramai disyorkan supaya melindungi diri mereka daripada virus dengan antara lain mengelakkan tempat-tempat yang sesak, menggunakan topeng pelindung dan mencuci tangan dengan sabun atau tangan sanitiser.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This