Larangan aktiviti riadah, iftar di Dataran Medan Bandar – MBAS

Larangan aktiviti riadah, iftar di Dataran Medan Bandar – MBAS

ALOR SETAR,. Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan arahan larangan menjalankan sebarang aktiviti riadah dan berbuka puasa di Dataran Medan Bandar di sini, berkuat kuasa pada Isnin.

MBAS menerusi laman Facebooknya memaklumkan larangan berkenaan adalah bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri itu.

“Bagi mencegah penularan wabak COVID-19, orang awam dilarang untuk mengadakan sebarang aktiviti riadah dan berbuka puasa secara individu atau berkumpulan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.

“Kegagalan mematuhi arahan ini adalah satu kesalahan,” menurut arahan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata pihaknya bersedia menjalankan penguatkuasaan sekiranya arahan larangan kepada orang ramai untuk tidak berbuka puasa di kawasan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata walaupun tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), orang ramai diminta untuk tidak memenuhi kawasan berkenaan.

“Sekiranya arahan larangan rasmi telah dikeluarkan dan masih ada yang berdegil untuk berbuka puasa di kawasan berkenaan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang telah diperuntukkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai satu klip video yang ditularkan di media sosial memaparkan orang ramai duduk secara berkelompok berbuka puasa di kawasan dataran berkenaan baru-baru ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This