Luqman Hakim lakar sejarah di bumi Belgium

Luqman Hakim lakar sejarah di bumi Belgium

KUALA LUMPUR,. Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama membuat penampilan di liga utama Eropah apabila diturunkan dalam perlawanan menyaksikan pasukannya KV Kortrijk tewas 1-3 kepada RSC Anderlecht, awal pagi tadi.

Pada aksi di Stadium Guldensporen di Kortrijk, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 bagi menggantikan Petar Golubovic, sekali gus memperkenalkan dirinya dalam saingan liga utama Belgium.

Walaupun beraksi pada 16 minit baki perlawanan, bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu berjaya memberi impak dengan gerakan serta lariannya hingga membolehkan KV Kortrijk dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Peluang itu disempurnakan rakan sepasukannya Ilombe Mboyo untuk meledak gol tunggal KV Kortrijk pada minit ke-87.

Terdahulu, RSC Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City Vincent Kompany selesa di hadapan hasil dua jaringan Lukas Nmecha pada minit keenam dan ke-66 serta gol daripada Percy Tau pada minit ke-30.

KV Kortrijk kini berada di kedudukan kesembilan dengan 14 mata selepas 10 perlawanan, dibezakan lima mata dengan pendahulu Club Brugge yang kurang satu perlawanan.

Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun itu meledak jaringan sulungnya di pentas Eropah yang juga gol kemenangan ketika membantu pasukan menewaskan KFCO Beerschot Wilrijk pada aksi Kumpulan 2 Liga Belgium Bawah 21 Tahun (B-21).

Luqman Hakim berlepas ke Belgium pada Ogos lepas setelah menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk milik taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This