Malaysia antara negara terpantas memvaksinasi penduduk – PM

Malaysia antara negara terpantas memvaksinasi penduduk – PM

KUALA LUMPUR,. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memastikan proses vaksinasi COVID-10 dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana menteri berkata satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 adalah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.

Muhyiddin berkata Malaysia merupakan antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari ketika ini.

“Kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi,” katanya pada sesi penerangan berkenaan PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana menteri berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dicapai lebih awal pada Oktober ini, berbanding perancangan asal iaitu 80 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah itu, 25.2 juta dos telah diterima.

Muhyiddin berkata Malaysia dijangka menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada Ogos, manakala 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku keempat 2021 dan baki selebihnya diterima pada suku pertama 2022.

“Alhamdulillah, setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang menerima dua dos lengkap suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan perlu digembleng bagi mengawal wabak ini dengan berpandukan tiga paksi utama termasuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This