Malaysia tuan rumah Dialog Peringkat Tinggi mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali 2020

Malaysia tuan rumah Dialog Peringkat Tinggi mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali 2020

KUALA LUMPUR,. Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah bagi Dialog Peringkat Tinggi mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali 2020 pada Jun tahun depan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam kenyataan di sini, hari ini, MIDA berkata pihaknya ditetapkan sebagai rakan kongsi utama bersama-sama dengan Persatuan Itali-ASEAN dan The European House- Ambrosetti dalam menganjurkan dialog itu.

“Dialog eksklusif dan platform rangkaian kerja ini akan dihadiri pihak berkepentingan utama daripada sektor awam dan swasta ASEAN dan Itali, untuk menerokai peluang ke arah menjana hasil untuk manfaat bersama.

“Dialog peringkat tinggi ini akan berperanan menghimpunkan visi berwawasan dan pendapat kompeten pemimpin Itali dan ASEAN untuk membincangkan isu inovatif dan relevan di rantau itu,” kata MIDA.

Persatuan Itali-ASEAN ditubuhkan pada 2015 dengan objektif untuk mengukuhkan hubungan antara Itali dan Asia Tenggara dalam merebut peluang timbal balas bagi firma dan institusi di rantau itu.

The European House-Ambrosetti ialah kumpulan profesional ditubuhkan pada 1965 yang memiliki rangkaian kerja di seluruh dunia dengan mempunyai lebih 200 hubungan di peringkat tertinggi dalam pelbagai sektor.

MIDA berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking ketika ini sedang dalam rangka lawatan kerja di Itali mulai 24 sehingga 30 Sept, 2019, untuk bertemu pelabur berpotensi, terutamanya dalam sektor berkaitan aeroangkasa, kimia, automotif dan Industri 4.0.

“Bersempena dengan lawatan kerja itu, yang dianjurkan oleh MIDA, Darell telah mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persatuan Itali-ASEAN Enrico Letta, wakil daripada The European House-Ambrosetti untuk berbincang mengenai penganjuran dialog itu,” katanya.

Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Abdul Malik Melvin Castelino dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud turut hadir pada perjumpaan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This