Maqis P.Pinang rampas mangga dari pelbagai negara
GEORGE TOWN,. Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 257 kilogram (kg) buah mangga bernilai RM2,250 yang dibawa masuk dari Indonesia, Australia, Thailand dan India tanpa sebarang dokumen yang sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini semalam.
Pengarahnya Zarina Ramli berkata kesemua buah mangga itu dibawa masuk tanpa Import Permit dan Sijil Fitosanitasi dari negara pengeksport.
Beliau berkata mangga itu dirampas ketika pemeriksaan secara berasingan terhadap tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 40 tahun warga Indonesia, Australia, Thailand dan India yang menaiki penerbangan dari negara masing-masing.
“Pemeriksaan Maqis mendapati mereka membawa konsainan buah mangga pelbagai varieti antaranya mangga harumanis dari Indonesia sebanyak 171.2kg, mangga R2e2 dari Australia (20kg), mangga waterlily dari Thailand (22.8kg) dan mangga golek dari India (42.8kg),” katanya di sini Rabu.
Beliau berkata buah mangga merupakan satu daripada komoditi kawalan pertanian yang berisiko dan dilarang dibawa masuk tanpa dokumen yang lengkap termasuk larangan pengimportan oleh penumpang menerusi laluan udara.
Menurutnya tujuan larangan pengimportan ini adalah bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek buah mangga ke Malaysia yang boleh menjejaskan industri mangga negara.
Zarina berkata perbuatan mengimport buah mangga tanpa permit yang sah dari Maqis adalah satu kesalahan dan boleh disiasat menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Katanya pihaknya sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikro organisma yang diimport ke dalam Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi mengelak sektor pertanian negara terjejas.
“Kami juga sentiasa mengambil langkah penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara supaya apa yang dibawa masuk ke Malaysia mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” katanya.
— BERNAMA