Mayat lelaki pakai gelang kuarantin, negatif COVID-19

Mayat lelaki pakai gelang kuarantin, negatif COVID-19

KUALA TERENGGANU,. Mayat lelaki dengan tangan memakai gelang kuarantin berwarna putih yang ditemukan terapung di Sungai Terengganu, berdekatan Kampung Banggol Cempedak, di sini pada Selasa disahkan negatif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata lelaki berusia 36 tahun itu sepatutnya memotong gelang kuarantin tersebut pada 18 Julai lepas, namun gagal dihubungi pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu.

“Susulan penemuan mayat berkenaan yang menjadi tular di media sosial, waris mangsa telah tampil ke Balai Polis Cabang Tiga bagi membuat laporan kehilangan ahli keluarga.

“Identiti lelaki terbabit telah disahkan oleh kakaknya yang berusia 38 tahun hasil daripada pengecaman fizikal dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Selasa.

Abdul Rahim memberitahu kali terakhir mangsa dihubungi kakaknya pada Jumaat lepas sebelum mereka terputus hubungan.

Mangsa tinggal berseorangan di Kampung Batu Hampar, Manir di sini sementara kakaknya menetap di tempat lain, katanya.

Abdul Rahim berkata hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat telah dituntut oleh ahli keluarga kira-kira pukul 3 petang semalam untuk proses pengebumian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This