Mohamed Azmin akan bertemu Menteri Industri dan Perdagangan Rusia

Mohamed Azmin akan bertemu Menteri Industri dan Perdagangan Rusia

KUALA LUMPUR,. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Denis Manturov untuk berbincang mengenai kerjasama perdagangan, ekonomi dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) berkata menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pertama Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) di Moscow dari 1 Okt hingga 2 Okt ini.

Dipengerusikan bersama oleh Mohamed Azmin dan Manturov, JCESTC akan membincangkan kerjasama antara Malaysia dan Rusia, terutamanya dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi, inovasi dan pembangunan digital, katanya.

Perbincangan itu akan menentukan terma rujukan, skop dan bidang kerjasama antara kedua-dua negara.

“Menteri dijadual mengadakan pertemuaan dengan pemimpin industri dan komuniti perniagaan Rusia dalam forum perniagaan pada hari yang sama sebagai sebahagian usaha untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara ,” kata MEA.

Katanya pertemuan julung kali itu adalah susulan daripada perbincangan antara Mohamed Azmin dan Manturov yang diadakan pada Forum Ekonomi Timur Ke-5 di Vladivostok pada September.

MEA berkata Mohamed Azmin juga akan mengadakan sesi libat urus dengan masyarakat Malaysia yang berada di Rusia di Kedutaan Malaysia.

Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan daripada MEA, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Industri Utama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This