MOTAC gariskan tiga AKM 100 Hari yang perlu dicapai

MOTAC gariskan tiga AKM 100 Hari yang perlu dicapai

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan sebanyak tiga Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Anggota Jemaah Menteri (AKM 100 Hari) yang perlu dicapai dalam memastikan aspirasi bagi sektor pelancongan dan kebudayaan menepati keperluan rakyat serta pemain industri secara umum.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiga aspirasi yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari, iaitu bermula pada 1 September lalu antara lain ialah pembukaan Pulau Langkawi, Kedah.

Beliau berkata, aspirasi AKM 100 Hari yang pertama itu ialah pembukaan Pulau Langkawi sebagai Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dan destinasi pelancongan serta premis kebudayaan semua negeri di Malaysia yang memenuhi kriteria Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mendapat kebenaran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, aspirasi kedua ialah penebusan insentif dalam bentuk diskaun, rebat, baucar yang ditawarkan kepada pengguna oleh Syarikat Penerbangan, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Pembelian Produk Kebudayaan.

“Aspirasi AKM 100 Hari MOTAC yang ketiga dan juga yang terakhir ialah peningkatan pendaftaran usahawan kraf ke dalam Platform Digital MYCRAFTSHOPPE bagi mempergiat aktiviti promosi dan pemasaran produk kraf secara dalam talian,” katanya pada pemberita dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

Memperincikan setiap satu AKM 100 Hari bagi MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan Pulau Langkawi, Kedah sebagai Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik antara lain bertujuan untuk merancakkan semula pelancongan domestik dan aktiviti kebudayaan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan.

Katanya, kaedah pelaksanaannya ialah melalui pembukaan destinasi pelancongan dan premis kebudayaan di kesemua 14 negeri di Malaysia dan pencapaian untuk 14 negeri ini sudah pun dicapai 100 peratus apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Berhubung AKM 100 Hari yang kedua, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penebusan insentif melalui lima kaedah pelaksanaan melalui pemberian baucar dan rebat kepada pengguna oleh syarikat penerbangan, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan pembelian produk kebudayaan.

Beliau berkata, pencapaian penebusan insentif itu amat memberangsangkan dengan 59.42 peratus dicapai setakat 8 November lalu.

“Jumlah peruntukan yang telah disediakan MOTAC untuk penebusan insentif adalah sebanyak RM5,865,000 dan sebanyak RM3,485,070 telah ditebus oleh pengguna setakat 8 November,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau optimis sasaran 100 peratus boleh dicapai pihak kementerian dalam tempoh ditetapkan.

“Baucar ini ada dua yang disediakan Tourism Malaysia iaitu baucar penginapan dan penerbangan. Dari segi pencapaian pula, kita turut melihat dari dua sudut iaitu baucar yang telah ditebus dan baucar yang telah dituntut.

“Baucar penerbangan yang telah dituntut sebenarnya telah mencapai 95.1 peratus, namun yang telah melaksanakan perjalanan hanya 59.42 peratus,” katanya.

Sementara itu, melalui AKM kedua juga MOTAC melalui Perpustakaan Negara Malaysia melancarkan Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca bagi melestarikan budaya membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penjual-penjual buku Malaysia (MBA) dan Majlis Buku Kebangsaan (MBKM).

“Program ini melibatkan 167 buah kedai buku fizikal dan sebuah kedai buku dalam talian dengan kos peruntukan sebanyak RM885,000 baucar buku untuk ditebus.

“Orang ramai boleh mendapatkan baucar sebanyak RM10 di kedai buku terpilih bagi pembelian produk buku dan penerbitan tempatan bernilai minimum RM20.

“Melalui usaha pemberian baucar ini juga akan membantu industri buku di samping memupuk budaya membaca Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Bagi sektor aktiviti kesenian dan kebudayaan, MOTAC melalui Balai Seni Negara juga telah menyalurkan insentif baucar diskaun bagi setiap pembelian karya seni visual Malaysia bernilai RM500 hingga RM1,000.

Insentif diskaun yang turut dikenali sebagai ‘Buy Art Malaysia’ itu akan berlangsung sehingga 20 November ini dan ia membabitkan penglibatan sebanyak 30 galeri swasta dan awam di seluruh negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peningkatan pendaftaran usahawan kraf ke dalam platform digital juga telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan yang mana 159 usahawan telah mendaftar dalam MYCRAFTSHOPPE bagi mempergiat aktiviti promosi dan pemasaran produk kraf secara dalam talian.

Untuk rekod usahawan yang paling banyak mendaftar adalah dari negeri Sabah, diikuti Sarawak, Terengganu dan juga Perak sepanjang tempoh 1 September hingga 8 November lalu.

MOTAC telah mencapai dua daripada tiga aspirasi dalam AKM

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Nancy Shukri berkata MOTAC telah mencapai dua daripada tiga aspirasi dalam AKM setakat 8 November lalu, iaitu inisiatif pembukaan destinasi pelancongan & kebudayaan domestik dan pendaftaran usahawan kraf di bawah platform jualan digital MOTAC.

“Ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

Beliau turut berharap keluarga besar MOTAC dapat melaksanakan penyampaian perkhidmatan dengan penyaluran maklumat yang teratur kepada seluruh bahagian dalam MOTAC, agensi, MOTAC negeri termasuk MOTAC luar negara.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan tindakan atau pelaksanaan dasar atau program yang lebih berkesan dan terancang, terutamanya melibatkan AKM.

“Saya pernah menekankan bahawa kita perlu bekerja sebagai satu pasukan kerana kita berdepan dengan situasi ‘crisis within crisis.’

“Alhamdulilah kami telah melalui 17 bulan bersama-sama, mengharungi pengalaman berdepan dengan ‘crisis within crisis’ dan bagaimana ia membentuk kita menjadi lebih bersinergi,” katanya.

Justeru, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pejabatnya mewujudkan e-mel [email protected] sebagai platform untuk mendapatkan maklum balas daripada akar umbi.

Menurutnya, sesiapa sahaja bebas mengemukakan apa jua cadangan serta kritikan membina.

“Saya berharap semua warga MOTAC tidak kiralah sama ada di Ibu Pejabat, jabatan mahupun agensi untuk sama-sama menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan AKM ini.

“Kerjasama dari semua peringkat adalah penting, dalam sebarang perancangan dan pelaksanaan program dan aktiviti masing-masing sebagai satu bentuk sokongan terhadap Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga sesungguhnya akan membuahkan hasil yang lebih cemerlang, berbanding secara solo,” katanya.

Selari dengan tagline ‘Coming Back Stronger,’ Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC menyasarkan agar industri dalam sektor pelancongan bersama sektor kesenian dan kebudayaan dapat pulih serta bangun semula setelah sekian lama dibelenggu oleh pandemik COVID-19.

“Insya-Allah, dengan sasaran pencapaian 100 peratus tehadap ketiga-tiga AKM ini dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat, sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kebudayaan serta keagamaan,” ujarnya.

–UB

CATEGORIES
TAGS
Share This