Operasi pemadaman kebakaran hutan di Sarawak kini bertumpu di Miri – Bomba

Operasi pemadaman kebakaran hutan di Sarawak kini bertumpu di Miri – Bomba

KUCHING,. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sedang memberi tumpuan kepada operasi pemadaman kebakaran hutan sekunder di kawasan Eastwood Valley Golf and Country Club Miri, Jalan Miri By Pass.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata sungguhpun ketika ini kawasan kebakaran tidak besar, namun api perlu dikawal lebih awal agar tidak merebak ke kawasan lain dalam skala yang besar.

“Tindakan mengadakan ‘Fire Break’ juga telah dilakukan di kawasan itu dengan menggunakan dua jentera pengorek,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Sementara itu katanya satu lagi lokasi kebakaran hutan yang dikesan di Miri adalah di kawasan ladang di hujung landasan Lapangan Terbang Miri.

“Memandangkan kawasan itu agak jauh dan tiada penempatan berdekatan, selain sukar untuk diakses dan mendapatkan punca air, maka kawasan itu dibiarkan dahulu sementara mencari jalan penyelesaian lain. Setakat ini, kawasan yang terjejas di kawasan hujung landasan hanya meliputi 40 hektar dan tompokan hanya berbaki 10 ekar sahaja.” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Tiong berkata, operasi pemadaman tanah gambut di Sri Aman yang membabitkan kawasan Jalan Kejatau-Lingga telah pun ditamatkan pada pukul 2.52 petang Rabu.

Berdasarkan sumber Jabatan Alam Sekitar Sarawak, 11 titik panas dikesan ketika ini, yakni enam di Miri, Bintulu (1), Sibu (1) ,Kapit (1) dan Lubok Antu (2)

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This