Ops Masjid: JHEAINS Buat ‘Lawatan Mengejut’, 8 Masjid Di Tawau DIperiksa

Ops Masjid: JHEAINS Buat ‘Lawatan Mengejut’, 8 Masjid Di Tawau DIperiksa

TAWAU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melakukan ‘lawatan mengejut’ di lapan buah masjid dalam Op Masjid, di sini semalam.

Serbuan membabitkan dua kawasan iaitu Merotai dan Jalan Apas pada kira-kira 11 pagi selepas menerima aduan awam masjid di situ digunakan.

Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS Tawau, Madrasah Kusing berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati semua masjid tersebut mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan sebarang aktiviti keagamaan.

“Pemeriksaan ini dilakukan selepas kami menerima aduan awam yang mengatakan berlaku aktiviti keagamaan masjid berkenaan.

“Dalam pada itu, kami turut mengadakan taklimat kepada wakil masjid berkaitan larangan tersebut selain turut menerangkan kepentingan mematuhi PKP,” katanya.

Tambah Madrasah, pihaknya turut menampal notis Pelanjutan Penangguhan Aktiviti Masjid dan Surau Sehingga 31 Mac depan bagi tujuan menangani penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau, Kahar Sundu berkata, Op Masjid yang dilancarkan hari ini selaras dengan arahan JHEAINS, Pelanjutan Penangguhan Aktiviti Masjid dan Surau Sehingga 31 Mac.

“Pemantauan dilakukan terhadap jawatankuasa masjid dan surau yang berdegil dan ingkar arahan yang dikeluarkan.

“Selain JHEAINS, operasi ini turut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kekuatan anggota seramai 22 orang,” katanya. – BORNEOTODAY

CATEGORIES
Share This