Pasaran saham dibuka lebih rendah

Pasaran saham dibuka lebih rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia diniagakan rendah pada awal urus niaga pagi Jumaat, terjejas oleh prestasi lemah pergerakan semalaman di Wall Street serta pasaran minyak.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.71 mata kepada 1,625.28 daripada 1,627.99 pada penutupan urus niaga petang Khamis.

Indeks utama dibuka 3.05 mata lebih tinggi pada 1,631.04 pada jam 9 pagi dan kemudiannya bertukar menjadi rendah seminit selepas itu.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 431 berbalas 132 sementara 299 kaunter tidak berubah, 1,385 tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 553.83 juta saham bernilai RM224.41 juta.

Menurut Malacca Securities, Wall Street menyusut daripada paras kemuncak yang dicatatkan baru-baru ini dengan Purata Perindustrian Dow Jones merosot 0.5 peratus di tengah-tengah kebimbangan yang berterusan mengenai tekanan inflasi, ditambah dengan kejatuhan harga minyak mentah.

Ia menambah penurunan harga minyak Brent dan minyak sawit mentah setelah mencapai puncak masing-masing, mungkin juga memberikan sentimen negatif bagi sektor tenaga.

“FBM KLCI naik lebih tinggi semalam didorong oleh keyakinan pasaran saham untuk kaunter bertemakan pemulihan berkaitan indeks terhadap pemulihan ekonomi selepas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa.

“Namun, kami percaya penurunan urus niaga semalaman Nasdaq mungkin akan melimpah ke pasaran dan sektor teknologi yang lebih luas hari ini,” katanya dalam catatan.

Firma penyelidikan itu turut menambah peniaga mungkin memberi tumpuan kepada kaunter yang ketinggalan seperti hartanah, pembinaan, pengguna dan pelancongan.

Berita mengenai kerjasama tiga syarikat telekomunikasi Malaysia untuk membangunkan infrastruktur gentian dapat menarik minat belian dalam sektor ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petchem dan TM masing-masing susut 12 sen kepada RM8.08 kepada RM6.29.

MISC dan Press Metal pula, kedua-duanya merosot 10 sen kepada RM6.87 dan RM10.06.

Sebaliknya, Top Glove naik lima sen kepada RM5.31 dan Maybank dan Digi masing-masing tiga sen lebih tinggi pada RM8.40 dan RM3.71 sementara Maybank meningkat dua sen kepada RM4.65.

Antara kaunter paling cergas, Macpie menambah lapan sen kepada 37.5 sen, KNM turun setengah sen pada 19.5 sen dan Nexgram tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 41.05 mata kepada 11,910.06, FBMT 100 turun 35.86 mata kepada 11,589.74 dan FBM Emas Syariah lebih rendah sebanyak 55.92 mata kepada 13,182.22.

Indeks FBM 70 merosot 112.57 mata kepada 15,652.65 dan FBM ACE 23.38 mata lebih rendah pada 10,613.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 8.61 mata kepada 15,559.31, Indeks Perladangan berkurangan 17.50 mata kepada 7,142.29 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kerugian 1.34 mata kepada 192.63.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )