Pembiayaan terus sokong aktiviti ekonomi pada Julai

Pembiayaan terus sokong aktiviti ekonomi pada Julai

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Pembiayaan terus menyokong aktiviti ekonomi pada Julai 2019, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam sorotan bulanannya bagi Julai 2019, BNM berkata pembiayaan bersih meningkat 5.6 peratus pada Julai (Jun: 5.9 peratus), manakala bon korporat terkumpul mencatatkan pertumbuhan yang mampan pada 10.3 peratus (Jun: 10.6 peratus).

Pinjaman isi rumah terkumpulan meningkat 4.7 peratus (Jun: 4.9 peratus) manakala pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpulan menyederhana kepada 2.5 peratus (Jun: 3.4 peratus).

Pembiayaan bersih merujuk kepada pinjaman terkumpul sistem perbankan (kecuali institusi kewangan pembangunan) dan bon korporat terkumpul.

BNM berkata bank-bank memgekalkan mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan dan memenuhi keperluan yang mendesak susulan nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan berada pada 155.4 peratus pada Julai (Jun: 153 peratus).

“Profil pendanaan bank-bank kekal stabil. Nisbah pinjaman kepada dana serta nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti masing-masing berada pada 82.3 peratus dan 71.8 peratus,” katanya.

Sementara itu, inflasi keseluruhan pada Julai menurun sedikit kepada 1.4 peratus (Jun: 1.5 peratus), disebabkan terutamanya oleh luputnya kesan daripada kos elektrik yang lebih tinggi pada Julai 2018 susulan pelarasan tarif elektrik yang dibuat dua kali pada tahun itu.

‘’Tidak termasuk kesan perubahan dasar cukai penggunaan, inflasi teras1 tidak berubah pada 1.5 peratus pada Julai (Jun: 1.5 peratus),’’ katanya.

Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraannya juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This