Berjaya Land akan bina rumah pintar mampu milik di Myanmar

Berjaya Land akan bina rumah pintar mampu milik di Myanmar

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah dan Noor Liyana Zulkifli

YANGON (Myanmar), 30 Ogos — Berjaya Land Bhd akan membina rumah pintar mampu milik di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) US$624 juta.

Mengumumkan perkara ini, Ketua Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Myanmar Holdings Sdn Bhd, Datuk Pee Kang Seng berkata projek itu yang dijangka bermula pada 2020 akan dibina dalam tiga fasa.

Ia terletak kira-kira 40 minit dari Yangon di tanah seluas 74.05 hektar (183 ekar) dan akan merangkumi kira-kira 14 bidang tanah.

Berjaya Myanmar Holdings adalah anak syarikat milik penuh Berjaya Land.

“Ia akan mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan. tetapi kita akan memulakannya dengan perumahan mampu milik, kerana ia adalah sangat penting, sebelum kita mula memikirkan tentang keuntungan. Saya fikir jika anda datang ke negara seperti Myanmar, ia adalah fakta diperakui bahawa perumahan adalah tidak mencukupi di sini.

“Jadi, dalam hal ini kami boleh melihat kepada kemampuan…sama ada rakyat di sini mampu membeli rumah mahal. Untuk melangkah ke hadapan, saya fikir kita perlu menangani segmen perumahan mampu milik,” katanya kepada Bernama News Channel (BNC) di luar seminar Malaysia-Myanmar Connect (MYC 2019) di sini hari ini.

Acara tiga hari bermula 28 Ogos itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-Myanmar dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Yangon dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Antara program diatur bagi acara itu termasuk lawatan ke Zon Ekonomi Khas Thilawa, sesi perkongsian pengetahuan dengan persatuan-persatuan di Myanmar, taklimat mengenai sistem ekonomi Myanmar, serta mengadakan sesi rangkaian dengan syarikat tempatan.

Pee berkata meskipun Berjaya Land menyasarkan GDV sebanyak US$624 juta untuk meneroka perumahan mampu milik, beliau menjangka ia akan berkembang apabila ekonomi kembali pulih dan tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi.

Selain daripada 10,000 unit kediaman, syarikat itu juga akan mempunyai segmen komersial dengan kira-kira 1.2 juta kaki persegi ruang niaga.

Berjaya Land juga mempelawa entiti seperti hospital dan sekolah antarabangsa untuk mengisi ruang tersebut, kerana kelaknya pasti akan ramai pelajar yang mahu ke sekolah dan realitinya projek itu akan bersepadu sepenuhnya dan bukan hanya terdiri daripada rumah sahaja.

Pee berkata projek itu dijangka memulakan pembinaan pada Januari 2020.

Ia adalah projek pertama oleh Berjaya Land atas dasar usaha sama dengan kerajaan Myanmar dan Pee yakin bahawa projek itu akan berjaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This