Pendirian AS mengenai tindakan Turki beli S-400 Rusia tetap tidak berubah

Pendirian AS mengenai tindakan Turki beli S-400 Rusia tetap tidak berubah

WASHINGTON,. Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper pada Khamis berkata, ‘tiada sebarang perubahan’ terhadap status memaksa Turki tidak membeli sistem peluru berpandu S-400 buatan Rusia.

Agensi berita Xinhua yang memetik temu ramah Esper dengan Reuters melaporkan, setakat ini Turki tidak berganjak berhubung perkara itu.

“Tiada sebarang perubahan ketika ini… tindakan mereka untuk terus dengan S-400 adalah suatu perkara yang tersalah arah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada 3 dan 4 Disember lalu di London.

Esper menyertai pertemuan dengan pegawai Turki sempena persidangan itu.

Ketika persidangan itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, mereka masih berunding berhubung isu itu sambil menegaskan, sebelum Ankara membeli S-400, negara itu dinafikan peluang membeli sistem peluru berpandu Patriot AS.

Sistem peluru berpandu S-400 menjadi isu utama pergeseran AS-Turki selepas Ankara menandatangani perjanjian US$2.5 bilion dengan Rusia pada 2017 dan mula menerima senjata itu pada Julai tahun ini.

Sebagai tindak balas, Washington menyingkirkan Ankara daripada program jet pejuang F-35 AS meskipun Turki sebenarnya adalah pembeli dan pembuat jet berkenaan.

Ia dilakukan kerana bimbang Rusia mungkin memperoleh maklumat sensitif berkaitan jet berkenaan.

Pada awal bulan ini, dua senator AS mengeluarkan surat mendesak sekatan dikenakan ke atas Turki, hampir sebulan selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan melawat Rumah Putih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This