Penempatan saham AirAsia X tepat pada masanya, strategik untuk kumpul dana

Penempatan saham AirAsia X tepat pada masanya, strategik untuk kumpul dana

KUALA LUMPUR,. AirAsia X Bhd berkata penempatan sahamnya dengan dua pelabur institusi adalah tepat pada masanya dan strategik untuk mengumpul dana terutamanya untuk pengaktifan semula dan penyelenggaraan pesawat syarikat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia X berkata penempatan itu akan menjadi usaha pengumpulan dana ekuiti pertama syarikat sejak 2015 dalam pada AirAsia X terus menilai prestasi operasi dan kewangannya serta pelan penyusunan PN17 yang sedang dijalankan.

“Hasil daripada cadangan penempatan itu akan dimanfaatkan sebagai langkah pengumpulan dana sementara untuk memperkukuh keperluan modal kerja jangka pendeknya sementara AirAsia X terus pulih dan mengembangkan operasinya dalam era pasca pandemik ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata AirAsia X terus berkembang sejak pembukaan semula sempadan serantau tahun lepas, dan telah meningkatkan operasinya untuk memenuhi permintaan bagi perjalanan udara antarabangsa merentasi rantau ini.

“Sehingga Mei 2023, AirAsia X mempunyai 17 buah pesawat dalam kumpulannya, dengan 11 buah pesawat telah diaktifkan dan beroperasi, dan kami menyasarkan untuk mengaktifkan lebih banyak pesawat menjelang akhir tahun.

“Setakat ini, kami telah melaporkan pemulihan prestasi kewangan syarikat yang mencatatkan keuntungan pada dua suku tahun berturut-turut bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2022 dan 31 Disember 2022,” katanya.

Beliau berkata dengan cadangan penempatan ini juga menandakan AirAsia X berada tepat pada landasannya dan akan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk usaha berterusan dan bersepadu bagi menggiatkan semula perniagaannya, sejajar dengan pemulihan industri dalam masa terdekat.

AirAsia X kini terbang ke 16 destinasi jarak sederhana termasuk Chengdu (Tianfu) yang dilancarkan baru-baru ini dan tiga laluan jarak dekat dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Bali – Denpasar dan Bangkok, dengan jumlah 83 penerbangan mingguan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, AirAsia X bercadang untuk melaksanakan penempatan 32.25 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM1.55 sesaham untuk meningkatkan hasil kasar kira-kira RM50.00 juta.

Penempatan itu mewakili 7.78 peratus daripada jumlah saham terbitan kepada AHAM Asset Management Bhd, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd dan Lavin Group Sdn Bhd.

“Hasil berjumlah kira-kira RM49.45 juta akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja kumpulan — kos pengaktifan pesawat: RM23.0 juta, kos penyelenggaraan pesawat: RM18.50 juta dan perbelanjaan operasi lain: RM7.90 juta.

“Anggaran perbelanjaan berhubung cadangan tawaran itu ialah RM600,000,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This