Peneroka haram Israel tingkatkan pencerobohan masjid Al-Aqsa ketika Ramadan

Peneroka haram Israel tingkatkan pencerobohan masjid Al-Aqsa ketika Ramadan

ANKARA,. Peneroka haram Israel meningkatkan pencerobohan ke dalam kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sepanjang bulan suci Ramadan, di tengah-tengah sekatan terhadap kemasukan jemaah Palestin ke kawasan tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis pada Rabu berkata seramai 237 peneroka telah menceroboh perkarangan masjid itu dengan perlindungan polis Israel.
Menurutnya, para peneroka memasuki masjid melalui Pintu Al-Mugharbah di bahagian barat, laluan yang sering digunakan dalam pencerobohan sedemikian.

Sementara itu, sekitar 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa pada Selasa malam meskipun berdepan sekatan Israel.
Solat tarawih adalah solat sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan selepas solat isyak.

Sejak awal Ramadan, Israel telah menghadkan kemasukan jemaah Palestin dari Tebing Barat yang diduduki ke masjid berkenaan, membenarkan hanya penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur dan rakyat Arab Israel untuk memasuki kawasan itu.

Rakyat Palestin melihat sekatan ini sebagai sebahagian daripada daripada dasar Israel yang lebih luas untuk Yahudi Baitulmaqdis Timur, termasuk Masjid Al-Aqsa, dan menghapuskan identiti Arab serta Islamnya.

Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, tempat terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia kemudian mengilhakkan seluruh bandar itu pada 1980, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai tahun lalu mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel yang berlarutan di wilayah Palestin adalah tidak sah, serta menuntut pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This