WHO jangka pandemik berakhir kurang 2 tahun

WHO jangka pandemik berakhir kurang 2 tahun

GENEVA,. Negara di dunia dijangka berupaya keluar daripada krisis pandemik COVID-19 kurang dua tahun ketika negara-negara di Eropah berusaha memerangi peningkatan kes baharu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Eropah barat mengalami kadar jangkitan yang tidak pernah berlaku dalam beberapa bulan sebelum ini, terutama di Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali, sekali gus mencetuskan kebimbangan gelombang kedua.

Di ibu negara Sepanyol, Madrid, pihak berkuasa mengesyorkan penduduk di kawasan yang paling terjejas tinggal di rumah untuk membantu membendung penyebaran ini berikutan negara itu mencatatkan lebih 8,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Perancis melaporkan kes harian lebih 4,000 kes baharu dalam tempoh dua hari berturut-turut, angka yang tidak pernah dilihat sejak Mei dengan penduduk di kawasan metropolitan paling teruk dijangkiti.

Ketua (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berusaha membuat perbandingan dengan pandemik selesema pada 1918.

“Kita mempunyai kelemahan dari aspek globalisasi, kedekatan, keterhubungan, tetapi dengan kelebihan teknologi yang lebih baik, kita berharap dapat menyelesaikan wabak ini kurang dua tahun,” katanya kepada wartawan.

“Dengan memanfaatkan kelengkapan yang ada secara maksimum dan berharap kita dapat memiliki alat tambahan seperti vaksin, saya rasa kita dapat menyelesaikannya dalam waktu yang lebih singkat daripada selesema 1918”, katanya.

WHO juga mengesyorkan kanak-kanak berumur lebih 12 tahun menggunakan pelitup muka dalam situasi yang sama dengan orang dewasa kerana penggunaan pelitup muka berupaya menghentikan penyebaran virus.

Tanpa vaksin yang dapat digunakan, kaedah yang paling dominan yang dimiliki kerajaan adalah dengan membatasi populasi atau menguatkuasakan penjarakan fizikal.

Lubnan adalah negara terbaru yang memperkenalkan semula sekatan yang ketat selama dua minggu mulai Jumaat termasuk perintah berkurung pada waktu malam bagi mengurangkan peningkatan kes jangkitan ketika negara itu masih menghadapi kejutan daripada tragedi letupan besar di ibu kota Beirut yang mengorbankan banyak nyawa awal bulan ini. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This