Pengamal media menuju era media konvergen dalam pemberitaan

Pengamal media menuju era media konvergen dalam pemberitaan

KOTA KINABALU,. Seramai 27 petugas media di bawah jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Sabah dan Labuan menamatkan kursus intensif kewartawanan peranti atau Mobile Journalism (MOJO) sebagai persiapan menuju era media konvergen dalam pemberitaan.

Kursus tiga hari itu, yang berakhir pada Khamis, merupakan yang pertama kali diadakan untuk petugas kementerian di kedua-dua wilayah itu.

Kursus kewartawanan peranti itu adalah bertujuan melengkapkan pengamal media dengan kemahiran dan pengetahuan khusus dalam penggunaan telefon pintar, aplikasi dan gadget dalam penghasilan pelbagai bentuk berita dengan lebih pantas.

Jabatan dan agensi yang mengikuti latihan anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu adalah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran Malaysia.

Sepanjang tempoh kursus, kesemua peserta berpeluang menjalani latihan praktikal di lapangan dengan tugasan yang mencabar pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk beralih kepada kaedah baharu dalam penghasilan berita.

Menurut penyelaras kursus, P. Chandran, kursus berkenaan adalah cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, yang mahu melihat pengamal media KKMM melalui peralihan kaedah konvensional kepada yang lebih mudah dan pantas.

“Kita mahukan pengamal media KKMM membantu organisasi masing-masing menjadi penyalur berita yang diyakini dengan kepantasan dan ketepatan,” katanya

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This