Peniaga didenda RM15,000, cuba rasuah polis

Peniaga didenda RM15,000, cuba rasuah polis

MIRI,. Seorang peniaga didenda RM15,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Khas Rasuah kerana cuba merasuah seorang pegawai polis berpangkat Inspektor untuk mengelak diambil tindakan atas kesalahan menyimpan barangan seludup.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah Ting Huong Nging dari Senadin di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, sekitar jam 1 tengah hari, 26 Ogos 2020, sepasukan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri diketuai Inspektor Rizuan Makladin telah membuat serbuan ke sebuah lot di Jalan Maigold, Golden Villa, Senadin.

Dalam serbuan itu, polis mendapati terdapat dua buah stor di belakang rumah berkenaan.

Polis kemudian meminta tertuduh yang mengaku sebagai penjaga stor itu untuk membuka kedua-dua stor berkenaan dan setelah dibuka didapati ia merupakan tempat simpanan arak serta rokok pelbagai jenama disyaki tidak lulus cukai.

Selain itu, polis turut menjumpai sebuah van lama yang diletakkan di hadapan stor berkenaan juga dijadikan tempat penyimpanan barang seludup.

Semasa Rizuan menerangkan bahawa dia (tertuduh) telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, tertuduh telah menawarkan wang tunai RM20,000 kepada pegawai polis terbabit sebagai sogokan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahannya itu.

Berikutan itu, wang tersebut kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan tertuduh ditangkap serta dibawa ke ibu pejabat PGA Miri sebelum diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Di hadapan mahkamah, Ting yang tidak diwakili peguam bela merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kamsiah Ahmad dari SPRM Sarawak.

CATEGORIES
TAGS
Share This