Penularan kes COVID-19 di sekolah terkawal

Penularan kes COVID-19 di sekolah terkawal

JITRA,. Penularan kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bagi negeri di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipantau dengan sewajarnya.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata situasi itu adalah terkawal jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah sekolah yang ada di seluruh negara iaitu melebihi 10,000.

“Secara umumnya dalam keadaan sekarang ini iaitu kita menuju ke fasa transisi kepada endemik ini, kita tahu bahawa virus ini ada di sekeliling kita. Alhamdulillah, kita lihat bahawa SOP (prosedur operasi standard) ini berkesan dan dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan pendidikan digital di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai situasi semasa keadaan penularan pandemik itu yang melibatkan Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya yang diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif COVID-19 membabitkan warga sekolah itu.

Media turut melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif COVID-19 semalam, selepas menunjukkan gejala sejak 28 Nov lepas selain tiga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang turut disahkan positif virus itu dan diarah menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

Mengulas lanjut, Radzi berkata punca penularan jangkitan dalam kalangan warga sekolah terbabit masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

“Dalam konteks asrama ini juga sebenarnya kami amat teliti, antara SOP yang amat terperinci dilaksanakan kerana risikonya apabila berlaku satu kes kebanyakan mereka tinggal dalam asrama, potensi untuk jangkitan ada.

“Di asrama perebakan risiko lebih tinggi berbanding sekolah harian, kerana di asrama mereka berada di situ sepanjang hari, sepanjang tempoh tersebut, duduk dalam asrama buka mask, duduk dengan kawan-kawan, kami akan terus pantau bagi memastikan supaya keadaan teratur dan selamat untuk pelajar,” katanya.

Radzi bagaimanapun menzahirkan kesyukuran apabila hampir keseluruhan pelajar sekolah yang terlibat dengan kes jangkitan COVID-19 itu telah lengkap divaksin dan mereka berada pada kategori satu yang tidak bergejala serta kategori 2A bergejala ringan.

“Jadi untuk anak-anak (pelajar) yang masih belum divaksin yang layak menerima vaksin, saya mohon kepada ibu bapa membawa anak mereka untuk divaksin bagi keselamatan anak-anak sendiri, begitu juga guru yang masih belum divaksin, kita boleh melihat keberkesanan dalam konteks apa berlaku ini,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata kementeriannya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengurusan sekolah yang cuba menyembunyikan kes positif COVID-19 membabitkan guru dan pelajar.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada sekolah yang dikesan berbuat demikian berikutan setiap sekolah perlu melaporkan segera kes yang berlaku.

“Sebagai contoh di Sekolah Seri Puteri, saya sebagai Menteri telah turun ke situ dua kali, untuk meneliti pendekatan terbaik untuk uruskan isu berkaitan penularan kes dalam kalangan pelajar di situ, (jadi amat penting) untuk mana-mana sekolah (atau institusi pendidikan) di bawah Kementerian Pendidikan laporkan segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata kementeriannya kini memberikan fokus untuk menyelesaikan beberapa isu utama antaranya untuk memastikan pembukaan sekolah secara keseluruhannya dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selain berusaha menambah baik infrastruktur pendidikan.

“Kami ingin beri tumpuan supaya pastikan anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan kondusif, sebab perancangan untuk sekolah, bangunan daif di sekolah dan juga satu lagi komponen yang kami beri keutamaan adalah dewan terbuka.

“Ini untuk pastikan supaya anak kita boleh gunakan dewan tersebut bukan sahaja untuk aktiviti pendidikan tetapi kokurikulum sebab COVID-19 ini terdapat banyak keperluan di sekolah untuk wujudkan dewan terbuka…selain daripada itu, kebajikan guru juga diberi keutamaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This