Perdana Menteri Singapura harap arahan jarak selamat dipatuhi

Perdana Menteri Singapura harap arahan jarak selamat dipatuhi

SINGAPURA,. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata langkah agar menjaga jarak yang selamat, disebut juga sebagai pemutus rantaian, untuk mengurangkan penularan COVID-19 adalah sangat menyusahkan.

“Ia juga melibatkan kos yang tinggi untuk ekonomi kita,” katanya dalam ucapannya mengenai keadaan COVID-19, hari ini.

“Tetapi apabila kita patuhi sekatan itu, semakin pantas ia akan berjaya, dan lebih cepat kita mengurangkannya,” katanya.

Lee memberi amaran sekiranya beberapa penduduk gagal mematuhi langkah-langkah tersebut, “pemutus rantaian’ itu akan gagal, maka semua kesulitan, kesakitan dan pengorbanan kita akan menjadi sia-sia.”

Untuk mengurangkan kesan COVID-19 sahaja, Singapura perlu mengeluarkan kira-kira S$60 bilion (S$1=RM3.05).

Lee minggu lepas mengumumkan langkah yang lebih ketat, menyamakannya dengan pemutus rantaian, yang bermula pada 7 April lepas dan akan berakhir pada 4 Mei depan.

Keputusan itu dibuat kerana republik itu menjangkakan peningkatan kes COVID-19 tempatan, terutamanya lebih banyak kes-kes yang tidak berkaitan, serta lebih banyak kes dan kluster yang muncul dalam asrama pekerja asing.

“COVID-19 sangat mudah berjangkit. Ia hanya memerlukan beberapa orang untuk ia merebak. Kami memerlukan semua orang untuk memainkan peranan mereka,” katanya sambil menambah bahawa beberapa minggu yang akan datang adalah mencabar.

Sehingga kini, Singapura mempunyai 1,910 kes positif, di mana 568 diimport, 967 adalah kes tempatan berkaitan manakala 375 kes tempatan tidak berkaitan.

— BERNAMA

Oleh Massita Ahmad

CATEGORIES
TAGS
Share This