Pesara tentera tanggung kecacatan kaki terpijak jerangkap samar pengganas komunis

Pesara tentera tanggung kecacatan kaki terpijak jerangkap samar pengganas komunis

TAIPING, 31 Ogos (Bernama) — Seorang pesara tentera terpaksa menanggung kecacatan pada kaki kanan sejak 44 tahun lalu selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang pasukan komunis dalam operasi Sabai di Gubir, Kedah.

Mohamad Zaki Ismail, 65, berkata bagaimanapun beliau bersyukur kerana masih bernyawa selepas terselamat dalam kejadian pada 8 April 1975 walaupun baru sahaja dua tahun berkhidmat sebagai Prebet dalam 13 Infantri, Angkatan Tentera Malaysia ketika pergelangan kakinya dipotong akibat kejadian itu.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke kem. Paling saya tidak boleh melupakan kesengsaraan pada waktu itu menyaksikan sahabat seperjuangan yang lain terkorban.
“Diharapkan generasi pada hari ini menghargai pengorbanan kami demi memerdekakan negara daripada ancaman komunis kerana mencapai kemerdekaan bukan perkara mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri di Dewan Warisan di sini hari ini. Bapa kepada lapan anak itu berkata beliau berharap kerajaan dapat meningkatkan pemberian pencen kepada pesara tentera yang telah bergadai nyawa demi menjaga keamanan negara.”Kos sara hidup semakin tinggi dan keadaan kami seperti ini menyukarkan kami untuk mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya hendak angkat buah kelapa pun sudah tidak berupaya lagi namun perlu menanggung tiga anak saya yang masih lagi bersekolah,” katanya yang telah bersara sebagai Lans Koperal dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1996.

Seorang lagi wira negara, Musa Khamis, 91, turut menerima penghargaan atas keberaniannya membunuh seramai 12 pengganas komunis semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia. Musa yang bersara sebagai Konstabel Khas pada 1980an berkata pertempuran dengan pengganas komunis yang disifatkan sebagai terlalu kejam di hutan Sungai Siput, Perak pada 1952 itu masih segar dalam ingatannya.
“Bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan negara pada hari ini. Kesan peluru pada bahu kanan saya ini antara bukti kejahatan pengganas komunis namun saya masih bernyawa sehingga hari ini,” katanya.

Bapa kepada 19 anak yang kali terakhir bertugas di Balai Polis Sungai Siput itu juga pernah dikurniakan pingat keberanian daripada Queen Elizabeth pada 1953 di London. Pada majlis itu, seramai 14 pesara tentera dan bekas polis menerima sijil penghargaan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan sumbangan wira negara berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This