Petronas tandatangani PSC untuk 9 blok penerokaan di bawah MBR 2022

Petronas tandatangani PSC untuk 9 blok penerokaan di bawah MBR 2022

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) untuk sembilan blok penerokaan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022 dengan pelaburan berjumlah RM1.7 bilion dalam modal penggerudian penerokaan, terutamanya di kawasan laut dalam dan formasi yang kurang diterokai.

Rakan PSC untuk sembilan blok penerokaan termasuklah Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan E&P Malaysia Venture Sdn Bhd (EPMV) untuk Blok PM327; Skye UMDP Exploration Bhd dan PCSB untuk Blok PM340; PCSB, PTTEP Sarawak Oil Limited dan Petroleum Sarawak EP (PSEP) untuk Blok SK325; dan Sarawak Shell Bhd, PCSB dan PSEP untuk Blok 3B.

“Penandatanganan PSC bagi penerokaan hari ini dan tiga kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang ditandatangani PSC bulan lepas mewakili jumlah tertinggi PSC yang dianugerahkan di Malaysia dalam tempoh setahun sejak 2010.

“Yang pertama daripada sembilan PSC yang ditandatangani hari ini juga menandakan PSC ke-200 yang dianugerahkan oleh Petronas sejak PSC sulung ditandatangani pada 1976,” kata Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, syarikat itu berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan PSC yang baru ditandatangani dalam menemui molekul baharu supaya dapat bersama-sama berkembang dan mencipta nilai secara mampan.

Menurut Petronas, penganugerahan sembilan blok ini juga telah mengurangkan kira-kira satu pertiga jumlah blok terbuka Malaysia, sejajar dengan usaha MPM untuk meningkatkan pelaburan dalam cari gali di negara ini.

Ia berkata, PSC ditandatangani oleh Mohamed Firouz, sambil disaksikan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Datuk Adif Zulkifli.

Sementara itu, Petronas berkata ia juga telah melancarkan MBR 2023, yang menawarkan 10 blok penerokaan yang terletak dalam pengeluaran di lembangan Melayu, Sabah dan Sarawak serta lembangan Penyu yang baru dibuka dan dua kluster DRO.

Ia berkata blok-blok ini meliputi pelbagai tetapan geologi dengan prospek yang besar untuk diterokai, memberikan peluang kepada pelabur yang mencari “Tenaga Berfaedah” yang mana ia merupakan kos rendah dan tenaga karbon rendah.

Petronas berkata dua kluster DRO yang ditawarkan ialah Chenang di luar pantai Semenanjung Malaysia dan Bambazon di luar pantai Sabah.

Ia berkata ini adalah kluster air cetek yang terletak berhampiran dengan hab pengeluaran sedia ada yang akan membolehkan pengewangan dengan cepat.

Mohamed Firouz berkata, Petronas terus membentuk strategi penerokaan dan pembangunan untuk membuka potensi penuh penerokaan dan pengeluaran di Malaysia dengan mempromosikan pelaburan dalam kawasan tumpuan bagi menyampaikan “Tenaga Berfaedah” yang diperlukan oleh pelanggannya.

“Kami akan terus menyediakan peluang kepada syarikat yang mempunyai keupayaan tersendiri, peluang yang disertakan dengan syarat fiskal yang betul untuk memaksimumkan pulangan pemegang saham bagi pihak berkuasa dan pelabur,” tambahnya.

Bertemakan “Winning the Energy Transition with our Advantaged Energy”, MBR 2023 menyaksikan penyertaan lebih 50 syarikat minyak dan gas serta agensi-agensi kerajaan, atase perdagangan asing dan perunding pasaran tenaga.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This