PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM3 juta

PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM3 juta

TUMPAT,. Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 19,230 karton rokok bernilai RM3.14 juta yang disembunyikan di sebuah bangunan sarang burung walet dekat Kampung Dalam di sini, kelmarin.

Rampasan melibatkan rokok kali ini adalah yang terbesar dilakukan PGA di sempadan Malaysia-Thailand sejak tahun lepas.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata, hasil siasatan mendapati kesemua rokok yang berjenama Luqun, Furonguang dan Nanjing adalah buatan China yang pertama kali dirampas di sini, kemungkinan untuk pasaran warga asing yang bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, hasil serbuan dan risikan oleh sepasukan anggota Strike Force berjaya menemukan rokok berkenaan di dalam sebuah bilik di bangunan sarang burung walet yang dikunci dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Maklumat risikan mendapati rokok itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum disimpan di bangunan sarang burung walet yang tidak digunakan lagi dan berfungsi sebagai stor transit,” katanya kepada pemberita di Komtak Kompeni A PGA Kuala Jambu di sini semalam.

Menurut Nor Azizan kese-mua rokok dirampas dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk siasatan sebelum dise-rahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata PGA9 merampas pelbagai barangan bernilai RM6.95 juta sejak megambil alih tugas Ops Benteng pada 15 Oktober lepas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This