Piala Tun Abdul Razak: Terengganu tempah tiket ke suku akhir

Piala Tun Abdul Razak: Terengganu tempah tiket ke suku akhir

KUALA LUMPUR,. Terengganu muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak selepas membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini pada Sabtu.

Bekas penyerang kebangsaan Faizal Saari muncul wira pasukan Terengganu selepas menjaringkan empat gol sekali gus meletakkan skuad kendalian jurulatih Tai Beng Hai pada kedudukan teratas kumpulan C dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Mohamad Akhimullah Anuar Esook membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi gol padang sebelum Faizal menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol kedua skuad Terengganu.

Juara dua kali itu terus mengukuhkan kedudukan dengan dua gol jaringan Faizal pada minit ke-34 dan ke-35, masing-masing melalui gol padang dan pukulan sudut penalti.

Tidak berputus asa, ATM cuba bangkit dan memperoleh jaringan tunggal hasil gol padang Azrin Azman pada minit ke-36 sebelum Faizal menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol kelima Terengganu.

Sementara itu, Faizal ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan perlawanan pada Sabtu dan mahu mengekalkan momentum untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian pada perlawanan hari ini. Saya mahu sasar sebagai pemain terbanyak jaringkan gol pada kejohanan kali ini. Faizal sudah kembali,” kata pemain berusia 29 tahun yang menganggap satu rezeki jika ketua jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj memilihnya kembali menyertai skuad kebangsaan.

Pasukan Terengganu dijadualkan berdepan Kelantan pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C, Isnin ini.

Selepas dua perlawanan, Terengganu berada pada kedudukan teratas dengan enam mata, diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM yang berkongsi tiga mata, manakala Kelantan di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Berdasarkan format perlawanan, dua pasukan teratas kumpulan mara ke suku akhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This