PKPP beri signal negara sedang memulihkan politik dan ekonomi

PKPP beri signal negara sedang memulihkan politik dan ekonomi

TAWAU,. Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020 ekoran kes jangkitan wabak COVID-19 menunjukkan penurunan serta kes sembuh meningkat.

Sejak berlakunya penularan wabak ini, sektor ekonomi merupakan paling merasai kesannya kerana hampir 90 peratus perniagaan tidak dapat beroperasi serta hampir melumpuhkan kegiatan harian masyarakat.

Ustaz Adam Khaleef Eilyas, 38, berkata, sebelum ini kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selari dengan Konsep Maqasid Syariah yang lima iaitu untuk menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

Menurutnya, kelmarin Perdana Menteri mengumumkan PKPP yang sudah pastinya memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia yang selama ini menanti satu tempoh panjang untuk kembali menjalankan aktiviti sosial yang tergendala akibat pelaksanaan PKP.

“Pelaksanaannya memberi signal yang jelas bahawa negara kita sedang bersiap sedia untuk memulihkan kembali senario politik dan ekonomi yang paling terjejas kesan dari wabak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam tempoh ini, masyarakat akan menjalani kehidupan seperti biasa namun dengan norma baharu yang agak praktikal dan lebih mudah.

“Dengan beberapa kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan, pelaksanaan PKPP merupakan fasa terakhir untuk keluar dari kemelut ini.

“Perjalanan merentas negeri, pembukaan sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi secara berperingkat, operasi perniagaan yang terjejas serta sektor pelancongan antara yang dibenarkan semasa PKPP,” katanya.

Tambahnya, meskipun begitu, rakyat tetap dituntut untuk terus berdisiplin untuk membolehkan negara kita keluar secara total dan bebas dari wabak berbahaya ini.

“Kekalkanlah cara hidup dengan norma baharu yang sedang dilalui hari ini walaupun agak janggal namun kita tiada pilihan lain selain mematuhi arahan Ulil Amri yang termasuk dalam salah satu kewajipan dalam beragama,” katanya.

Sementara itu, bagi Diana Anak Ngelambong, 40, PKPP bukan bermakna negara sudah bebas daripada wabak dan tidak perlu berjaga-jaga, tetapi pelaksanaan itu hanya melonggar sedikit aktiviti masyarakat yang selama ini dihadkan.

Beliau berkata, untuk perjalanan merentas negeri, rakyat perlu mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan kewajipan menjalani saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Kita faham ramai yang sudah sangat merindui orang tua di kampung, termasuk saya sendiri tetapi perlu difikirkan sekiranya di kampung terdapat warga emas yang mudah terdedah kepada jangkitan.

“Kita tidak mahu mereka menjadi mangsa akibat kecuaian diri kita yang tidak menghiraukan kesan negatif sekiranya kita bertindak merentas negeri tanpa keperluan mendesak,” katanya.

Menurutnya, orang ramai sudah mula gembira kerana banyak sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi termasuk sebelum ini dianggap berisiko seperti pusat kecantikkan.

“Pastikan pegusaha pusat kecantikan mematuhi setiap SOP dan jika perlu, biarlah semuanya melalui temujanji supaya pengusaha diberikan ruang masa melakukan sanitisi setiap kali bertukar pelanggan,” katanya.

Begitu juga dengan pendidikan sekiranya perlu hanya pelajar menengah sahaja dibenarkan manakala murid sekolah rendah hanya perlu meneruskan pembelajaran secara online.

Namun, semua itu terpulang kepada rakyat itu sendiri kerana kerajaan sudah memberikan kelonggaran serta SOP kepada semua aktiviti kita.

“Bak kata pepatah ‘tepuk dada, tanya selera’. Kita perlu bersedia dan menerima kehidupan norma baharu yang tidak seperti kehidupan dahulu,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This