Profil Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik

Profil Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik

PONTIAN,. Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia di Hospital Pontian, hari ini, merupakan anak jati Mukim Serkat, di sini.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tahun lepas, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Andek Mori, Serkat, di sini.

Beliau kemudian menyambung pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat A-Levels di Bedford Modern School, United Kingdom.

Kerjaya Allahyarham dalam bidang perubatan bermula pada 2001 selepas tamat pengajian di University of Belfast, United Kingdom dengan kelulusan Ijazah Muda Perubatan.

Pada 2008, Allahyarham lulus Ijazah Kepakaran Anesthesia dari College of Anaesthesia, Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) dan terus berkhidmat sebagai pakar anesthesia di United Kingdom sebelum kembali ke Malaysia pada 2014.

Dalam politik, penglibatan Allahyarham bermula tidak beberapa lama selepas pulang ke tanah air.

Walaupun tidak pernah berkecimpung dalam politik, Allahyarham mula berminat dalam bidang itu selepas ibunya, Norma Mohamed yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Tanjung Piai, keluar daripada parti tersebut pada 2016.

Allahyarham memulakan karier politiknya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Tanjung Piai.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada PRU ke-14 selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

Allahyarham Dr Md Farid juga aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam kawasan Tanjung Piai sebelum bergerak aktif dalam politik.

Allahyarham dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada Oktober 2018.

Pada Jan tahun ini, Allahyarham dianugerahkan Pangkat Kehormat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang membawa gelaran Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Allahyarham Dr Md Farid berkahwin dengan Datin Wira Farah Syazwani Hanis Ismail pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sophie Farissya, Eva Ariaana dan Zara Aleena.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This