Raja Muda Perlis, Tengku Mahkota Pahang beri penghormatan terakhir kepada Tun Taib

Raja Muda Perlis, Tengku Mahkota Pahang beri penghormatan terakhir kepada Tun Taib

KUALA LUMPUR,. Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 12.07 tengah hari, disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan ahli keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak itu.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir adalah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua, kiri) dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra (dua, kanan) berkenan berangkat dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Taib di Masjid Negara sebelum dibawa balik ke Kuching, hari ini. – Gambar BERNAMA

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selesai disolatkan di Masjid Negara pada 10.24 pagi yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dengan disertai kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, pemimpin negara dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa keluar dari Masjid Negara pada 12.30 tengah hari untuk ke Pangkalan Tentera Udara (TUDM) Subang sebelum diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Tun Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This