Rekod cemerlang Abang Jo di Satok akan diteruskan – Calon GPS

Rekod cemerlang Abang Jo di Satok akan diteruskan – Calon GPS

KUCHING, 4 Dis — Timbalan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ibrahim Baki yang diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Satok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan meneruskan rekod cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyandang kerusi itu selama sembilan penggal.

Beliau yang bergiat dalam politik selama 36 tahun berazam untuk menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan menjadikan kerjasama antara satu pasukan sebagai tonggak utama bagi memastikan Satok terus membangun, sebagaimana ketika Abang Johari menjadi wakil rakyatnya.

“Saya tahu bagaimana PBB dan GPS berfungsi. Beliau (Abang Johari) meninggalkan saya dengan harapan yang tinggi untuk dipenuhi. Macam manapun kami bekerja sebagai satu pasukan di Satok walaupun hanya ada satu pemimpin. Tugas saya hanyalah meneruskan apa yang beliau (Abang Johari) lakukan sebelum ini. Tidak banyak parubahan untuk dilakukan.

Yang kurang kita tambah, yang tak ada, kita adakan. Ketua Menteri berkata kepada saya , selaku Ketua Menteri beliau akan melihat Sarawak secara keseluruhan, jadi beliau akan melihat Satok juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sepakat @Komuniti Keluarga Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Kuching hari ini.

Ibrahim yang juga Timbalan Ketua Bahagian PBB Satok sejak 2002 berkata, Abang Johari akan terus memberikan panduan tentang pembangunan di Satok walaupun Presiden PBB dan Pengerusi GPS itu akan bertanding di Gedong.

“Jiwanya (Abang Johari) di Gedong, tetapi semangatnya di Satok,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 24 calon muka baharu GPS yang diumumkan semalam.

GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada PRN ke-12 ini.

Selepas menjadi wakil rakyat Satok bermula pada 1981, Abang Johari yang telah menabur bakti di kawasan yang terletak berhampiran dengan bandar raya Kuching itu selama sembilan penggal akan “berpindah” ke Gedong pada PRN ke-12 kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 6 Dis ini, pengundian awal pada 14 Dis manakala 18 Dis pula hari pengundian PRN Sarawak.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This