Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka hampir tidak berubah hari ini selepas Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus daripada 3.0 peratus sebagai langkah awal bagi menjamin trajektori pertumbuhan di tengah-tengah kestabilan harga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0650/0680 berbanding paras penutup 4.0650/0700 pada Rabu.

AmBank Research berkata penurunan kadar semalam mengatasi kemungkinan 40 peratus bahawa BNM dijangka mengekalkan kadar dalam mesyuarat dasar pada Januari.

“Kami mengulangi pandangan kami dalam laporan bertarikh 20 Januari bahawa penurunan kadar adalah positif kerana ia akan membantu menyokong ekonomi dan pasaran modal serta membantu membendung penurunan perniagaan dan sentimen pengguna,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Pada masa hadapan, masih ada ruang bagi mengurangkan lagi kadar sekiranya persekitaran domestik dan luar terus kekal lemah yang meningkatkan risiko pertumbuhan perlahan ke atas ekonomi dan pasaran modal.

“Inflasi dijangka berada sekitar 1.8 peratus hingga 2.00 peratus daripada asas rendah 0.7 peratus bagi 2019,” Kata firma penyelidikan itu.

Keseluruhannya, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0129/0175 daripada 3.0122/0156 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7076/7132 daripada 3.6965/6995.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding euro kepada 4.5056/5128 daripada 4.5077/5126 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3406/3492 daripada 5.3085/3140 pada Rabu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This