Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS apabila para pelabur beralih kepada dolar AS bagi mata wang selamat susulan keraguan yang timbul terhadap kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1590/1630 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1540/1570 pada Isnin.

Pakar Strategi Pasaran Axi Trader Asia-Pacific Stephen Innes berkata khabar angin terbaharu daripada China membayangkan bahawa Beijing ‘pesimistik’ terhadap rundingan perdagangan dengan AS apabila Presiden AS Donald Trump dilaporkan tidak menyokong sebarang langkah penurunan tarif.

“Beijing nampaknya kecewa kerana ia merasakan kedua-dua pihak telahpun bersetuju untuk berbuat demikian dari segi prinsipnya. Dengan pelbagai kekeliruan berhubung rundingan perdagangan itu, tidak dipastikan sama ada semua orang sebenarnya saling bersetuju.

“Kepercayaan masih kekal menjadi satu masalah utama, dan masih belum ada kejelasan sepenuhnya tentang bagaimana jurang kepercayaan itu boleh dikecilkan, terutamanya memandangkan China telah menegaskan bahawa menghapuskan tarif tambahan sedia ada adalah prasyarat bagi mencapai perjanjian,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berikutan perkembangan terbaharu rundingan perdagangan itu, harga minyak juga susut dengan penanda aras minyak mentah Brent didagangkan hampir 0.3 peratus lebih rendah kepada US$62.27 peratus pada masa ini.

Sementara itu ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0549/0583 daripada 3.0531/0557 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.8328/8376 daripada 3.8192/8230.

Ringgit naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.3842/3898 daripada 5.3844/3891 tetapi susut berbanding euro kepada 4.6011/6064 daripada 4.5943/5993 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This