Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Dagangan ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin dengan para pelabur tidak memasuki pasaran terutama menjelang pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini, kata seorang peniaga.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1505/1540 berbanding dolar daripada 4.1490/1520 semasa penutupan urus niaga Jumaat lepas.

Beliau berkata para pelabur menantikan dengan penuh sabar pengumuman belanjawan Jumaat ini kerana ia akan menunjukkan hala tuju pentadbiran baharu.

“Ringgit dijangka diniagakan tinggi dan menguji paras 4.13 menjelang pengumuman belanjawan,” katanya kepada Bernama.

Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit bergerak bercampur-campur.

Unit tempatan itu lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0808/0839 daripada 3.0825/0849 Jumaat lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7173/7221 daripada 5.7269/7310 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6507/6541 daripada 3.6436/6466 dan rendah berbanding euro kepada 4.8333/8373 daripada 4.8307/8342.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )