Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot dalam dagangan lewat pada Isnin selain pedagang menilai pelan rangsangan COVID-19.

Rundingan rangsangan fiskal terus memacu hala tuju dolar US, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1400/1450 berbanding dolar US daripada 4.1415/1465 semasa ditutup pada Isnin.

Hong Leong Bank Bhd, dalam nota berkata melihat ke hadapan, ia menjadi neutral ke atas ringgit berbanding dolar US minggu ini, dijangka diniagakan pada sekitar 4.15 dalam julat yang luas antara 4.13-4.17, berdasarkan mata wang AS itu yang tertakluk kepada turun naik menjelang pilihan raya AS yang akan berlangsung kurang daripada tiga minggu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit terus mengambil petunjuk daripada prestasi yuan China.

“Dengan pelabur turut menilai data China baru-baru ini, yang bercampur-campur, ia dapat menjadikan keadaan kurang sukar untuk aliran masuk pasaran tempatan, terutamanya apabila kita hampir menghadapi risiko pilihan raya presiden AS.

“Dengan harga minyak jelas berada pada keluk COVID-19, ringgit mungkin perlu berhati-hati,” katanya.

Ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagang utama Malaysia itu menyaksikan pertumbuhan ekonominya sebanyak 4.9 peratus pada suku ketiga tahun ini, lebih cepat daripada 3.2 peratus dicatatkan pada suku kedua.

Bagaimanapun, ekonomi China berkembang kurang daripada jangkaan sebanyak 5.2 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali euro.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0497/0536 daripada 3.0517/0556 pada Isnin dan naik berbanding pound kepada 5.3592/3674 daripada 5.3819/3900.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.9223/9274 daripada 3.9308/9367, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.8732/8807 daripada 4.8679/8755.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )