Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki pasaran Amerika Syarikat (AS) semalaman, yang ditutup rendah berikutan ketidaktentuan mengenai pelan rangsangan susulan tarikh pilihan raya presiden AS yang semakin hampir.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.45 mata kepada 1,517.66 daripada 1,518.11 semasa ditutup pada Isnin.

Barometer pasaran dibuka tinggi 0.39 mata kepada 1,518.50.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 226 berbanding 177, manakala 320 kaunter tidak berubah, 1,428 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 722.39 juta unit bernilai RM302.99 juta.

Pasaran saham AS ditutup rendah pada Isnin dengan Dow Jones merosot 1.44 peratus kepada 28,195.42, S&P susut 1.63 peratus kepada 3,426.92 dan Nasdaq berkurangan 1.65 peratus kepada 11,478.88.

Bagaimanapun, seorang penganalisis berkata dengan data ekonomi China yang kukuh yang dikeluarkan semalam, pasaran saham Asia, termasuk Bursa Malaysia akan dapat menjejaki momentum yang kukuh.

“Ini terutamanya apabila bursa tempatan kembali dengan penyertaan pelabur runcit berikutan mereka bekerja dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada suku ketiga menyaksikan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus, didorong oleh eksport ke negara-negara yang masih bergelut dengan COVID-19.

Sementara itu, Rakuten Trade menjangka minat belian yang berterusan dalam pasaran lebih luas hari ini berikutan jumlah dagangan yang terus meningkat.

“Saham berkaitan sarung tangan, pelitup muka dan penjagaan kesihatan masih menjadi tumpuan berikutan jangkitan COVID-19 yang terus meningkat dan lebih ramai orang bekerja dari rumah. Oleh itu, kami menyokong pelabur memasuki pasaran dan mengenal pasti trend,” katanya dalam nota hari ini.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM7.27, Sime Darby menambah lima sen kepada RM2.45, serta Axiata dan IHH, masing-masing meningkat dua sen kepada RM2.74 dan RM4.98.

Kaunter paling aktif diterajui oleh Luster dan Mah Sing, yang telah menyatakan minat mereka untuk menyertai aktiviti sarung tangan getah.

Luster naik 3.5 sen kepada 26 sen dan Mah Sing meningkat 12 sen kepada RM1.36.

AT Systematization menambah setengah sen kepada 10.5 sen dan Aneka Jaringan susut 1.5 sen kepada 31.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Scientex, naik 16 sen kepada RM12.56, manakala Salcon dan Yinson, masing-masing menambah sembilan sen kepada 44 sen dan RM4.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 6.21 mata kepada 11,031.77, Indeks FBMT 100 merosot 8.93 mata kepada 10,820.00 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 25.39 mata kepada 13,264.20.

FBM 70 susut 34.29 mata kepada 14,606.51 dan FBM ACE jatuh 34.02 mata kepada 11,137.74.

Indeks Perkhidmatan Kewangan, bagaimanapun, naik 32.93 mata kepada 12,478.17, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.12 mata kepada 146.63, bagaimanapun Indeks Perladangan susut 20.47 mata kepada 6,897.05.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )