Ringgit dibuka tinggi pada pagi

Ringgit dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit kembali meningkat dan dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan sentimen berhati-hati selepas Amerika Syarikat mengeluarkan data makroekonomi yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4575/4615 berbanding dolar AS daripada kadar penutup semalam 4.4605/4660.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku pertama 2023 adalah di bawah jangkaan pada 1.1 peratus berbanding unjuran 2.0 peratus dan ini telah memberi kesan kepada nilai dolar AS.

Bagaimanapun, angka Tuntutan Pengangguran Awal yang berada di bawah jangkaan pasaran pada 230,000 berbanding jangkaan 248,000 sedikit sebanyak telah membantu menyokong dolar AS.

“Memandangkan kedua-dua penunjuk makroekonomi ini menunjukkan arah yang bertentangan,tidak banyak hala tuju yang boleh dilihat selepas data-data ini dikeluarkan.

“Dari sudut teknikal, gandingan USD/MYR diunjurkan meningkat lebih jauh melepasi 4.4700, yang mana di paras itu ia akan berhadapan dengan rintangan sementara,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Berbanding yen Jepun, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.3245/3277 daripada 3.3337/3381 pada penutup Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.9180/9224 daripada 4.9235/9296 semalam, tetapi menyusut nilai berbanding pound Britain menjadi 5.5696/5746 daripada 5.5506/5575.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Nilai ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3392/3424 daripada 3.3379/3423 pada penutup semalam dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.03 daripada 8.00/8.02

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.0504/0679 daripada 13.0626/0841 pada Khamis dan menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 303.0/303.4 daripada 303.2/303.7 semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This