Sabah Hadkan Penerbangan Domestik Dalam Negeri

Sabah Hadkan Penerbangan Domestik Dalam Negeri

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah mengambil langkah mengehadkan penerbangan domestik dalam negeri sebagai langkah menangani penularan COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata ia membabitkan penerbangan destinasi Kota Kinabalu – Tawau – Kota Kinabalu, Kota Kinabalu – Sandakan – Kota Kinabalu, Kota Kinabalu – Lahad Datu – Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu – Sandakan -Tawau – Kota Kinabalu.

“Semua penumpang juga adalah diwajibkan untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di setiap lapangan terbang.

“Selain tu, kerajaan negeri turut melaksanakan sekatan perjalanan di sempadan Malaysia-Indonesia.

“Lokasi ini melibatkan Pulau Sebatik – Tawau – Pulau Sebatik, Serudong – Simanggaris – Serudong dan Bantul Labang – Pagalungan – Bantul Labang.

“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada penghantaran barangan keperluan harian dan jumlah bot serta krew haruslah minimum di semua jeti yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar di Kota Kinabalu.

Menurut beliau, keputusan terbabit diputuskan pada mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre, hari ini.

Sementara itu, Safar menyatakan, semua pelajar atau orang awam yang balik daripada luar negara atau antara negeri masuk ke Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada sudah melalui saringan kesihatan COVID-19 atau tidak di lapangan terbang seluruh negara hendaklah dikenakan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

CATEGORIES
TAGS
Share This