Sindiket seludup rokok, mercun, minuman keras lebih RM10 juta tumpas

Sindiket seludup rokok, mercun, minuman keras lebih RM10 juta tumpas

BUTTERWORTH,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, minuman keras dan mercun dianggarkan bernilai lebih RM10 juta termasuk cukai di Seberang Perai Tengah pada 4 Oktober lepas.

Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang Hamisan Kalip berkata bertindak hasil risikan yang dijalankan, Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas JKDM Pulau Pinang telah membuat serbuan ke atas sebuah gudang di kawasan itu pada 6.30 petang.

“Ketika serbuan, pasukan JKDM menjumpai rokok, minuman keras dan mercun di dalam gudang berkenaan selain turut menjumpai dua lori ‘bonded’ yang berisi rokok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata semasa serbuan, lima lelaki warga tempatan yang berumur lingkungan 35 hingga 46 tahun yang sedang memunggah dagangan dari kontena, turut ditahan.

Hamisan berkata rampasan melibatkan 13.58 juta batang rokok dengan nilai anggaran RM1.08 juta dan membabitkan cukai RM9.07 juta; 21,000 tin minuman keras dengan nilai anggaran RM41,808 dengan cukai RM195,466.75 serta tujuh karton mercun dianggarkan bernilai RM1,120 melibatkan cukai RM728.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 manakala kelima-lima lelaki yang ditahan itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain aktiviti yang membawa padah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This