SKMM bertemu penduduk susulan aduan capaian internet lemah di Kedah

SKMM bertemu penduduk susulan aduan capaian internet lemah di Kedah

PUTRAJAYA, 22 Sept — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah bagi memahami keperluan dan kehendak komuniti itu berhubung aduan mengenai capaian Internet yang lemah.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan pertemuan pada 18 dan 20 Sept itu adalah susulan pendedahan mengenai ratusan penduduk kampung berkenaan yang terpaksa menggunakan tiang, baldi dan tali untuk menikmati kemudahan Internet.

Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat di Kampung Kongsi 14, SKMM akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan di kampung berkenaan untuk tampil dengan jalan penyelesaian sementara, katanya.

“Untuk penyelesaian menyeluruh, penyelesaian jangka panjang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dirancang dan akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi,” menurut SKMM yang memandang serius aduan yang dikemukakan serta memberi jaminan aduan penduduk Kampung Kongsi 14, akan ditangani sewajarnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This