Solat berjemaah ikut kapasiti keluasan masjid, surau dibenar mula 19 Jun

Solat berjemaah ikut kapasiti keluasan masjid, surau dibenar mula 19 Jun

KOTA KINABALU,. Solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat kini dibenarkan mengikut kapasiti sebenar keluasan masjid atau surau dan kemampuan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.

Mufti Negeri Sabah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz @ Jaafar berkata, kebenaran itu mula berkuat kuasa pada 19 Jun 2020 dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan satu meter antara jemaah.

Menurutnya, ahli jemaah yang bergejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas, dan sakit termasuk yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu katanya, kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing turut sama tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau dalam tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh PKPP ini, harus mengerjakan solat Jumaat di masjid atau surau yang dibenarkan solat Jumaat walaupun bilangan jemaahnya kurang 40 orang.

“Kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan diwajibkan menunaikan solat fardhu Zuhur di rumah masing-masing.

“Ruang yang terhad dibuka di luar ruang masjid atau surau yang dibenarkan pihak mereka yang ingin singgah solat seperti musafir dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, hanya kuliah Maghrib dan Subuh sahaja yang dibenarkan dijalankan di masjid dan surau.

Menurutnya, kuliah Maghrib perlu ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak manakala kuliah Subuh dilaksanakan selama 20 hingga 30 minit sahaja.

Bungsu berkata, ibadah korban juga dibenarkan di perkarangan masjid atau surau dengan kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Pengurusan jenazah dibenarkan pelaksanaannya di masjid dan surau dengan mematuhi garis panduan pihak berwajib,” katanya.

–UB

CATEGORIES
TAGS
Share This