S&P kekalkan unjuran kukuh untuk bank-bank Malaysia


KUALA LUMPUR,. S&P Global Ratings mengekalkan unjuran yang kukuh ke atas industri perbankan di Malaysia tetapi memberi amaran bahawa cabaran luaran dan impak teknologi kewangan (fintech) yang radikal boleh menggugat kitaran tradisional bank-bank itu.

Industri perbankan Malaysia sedang berhadapan dengan perang perdagangan, kelembapan ekonomi serantau yang diterajui China, sentimen perniagaan domestik yang agak lemah serta kejatuhan harga komoditi.

“Selain itu, walaupun fintech membantu mereka menjimatkan kos tetapi ada kemungkinan teknologi itu sendiri secara radikal boleh mengganggu industri tersebut,” kata Penganalisis Global Ratings S&P Rujun Duan.

“Faktor-faktor itu belum lagi memberi kesan ke atas penarafan kami, kami mengekalkan pandangan yang stabil terhadap semua bank Malaysia yang kami nilaikan, kami percaya isu-isu itu adalah penting untuk diperkatakan,” katanya dalam satu laporan yang bertajuk “Malaysian Banking Outlook : Incumbents Feel The Squeeze”.

Bank-bank Malaysia sedang menghadapi tekanan kitaran dan sekular yang boleh menghakis kedudukan kewangan mereka secara perlahan-lahan jika tidak ditangani.

Katanya, S&P meramalkan pinjaman bank di Malaysia akan berkembang 3-5 peratus dalam 2019, kira-kira separuh daripada pertumbuhan yang dicapai pada 2015.

“Kami juga menjangkakan margin faedah bersih industri akan menguncup sebanyak 5-10 mata asas pada tahun ini, berikutan pemotongan kadar dasar termasuk persaingan domestik yang memuncak untuk deposit,” katanya.

Sejak tiga tahun lepas, isi rumah Malaysia telah mula mengambil langkah untuk mengurangkan hutang. Yang terbaharu, perang perdagangan dan pasaran modal yang tidak stabil telah memberi kesan kepada sentimen pengguna dan ini menjejaskan pelaburan dalam perniagaan.

Memandangkan lebih separuh daripada aktiviti pinjaman bank-bank Malaysia (58 peratus) diberikan kepada isi rumah, sebarang indikator kelemahan dalam pinjaman isu rumah adalah satu petanda yang buruk kepada pemberi pinjaman.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan kadar dasar faedah sebanyak 25 mata asas pada Mei lepas dan dijangkakan akan membuat satu lagi pemotongan pada tahun ini. Dasar monetari Rizab Persekutuan AS yang lebih akomodatif pula telah memberi ruang untuk bank-bank pusat serantau memudahkan polisi dan ini memberi kesan ke atas margin faedah bersih pihak bank.

Persaingan bagi mendapatkan deposit runcit yang murah terus melonjak apabila kebanyakan bank mula mencari aset cair yang bermutu tinggi. Semua tekanan margin ini, menjejaskan unjuran keuntungan mereka.

Bank-bank Malaysia dalam usaha mereka untuk berkembang dalam ruang yang sempit telah melaksanakan pengurangan kos operasi, menutup cawangan dan membuang kakitangan. Nisbah kos kepada pendapatan dalam sektor itu hanya berbaki antara 47 peratus hingga 48 peratus dalam tempoh dua tahun lepas.

“Walaupun nisbah ini berjaya ditingkatkan oleh pihak bank tetapi kami percaya bahawa ia dibuat tanpa sokongan daripada pendapatan,” kata Duan.

Bank-bank Malaysia juga telah berkembang ke Singapura dan Indonesia. Secara umumnya, ini adalah strategi yang baik kerana margin faedah bersih yang lebih tinggi dalam pasaran itu.

“Tetapi jika keadaan menjadi buruk, operasi luar negara bank-bank ini amat cenderung untuk menyeret keuntungan kumpulan ke bawah, seperti yang dilihat pada tahun-tahun kebelakangan ini apabila industri minyak dan gas luar pesisir pantai Singapura dan sektor perlombongan serta komoditi Indonesia merekodkan kejatuhan,” katanya.

Singapura, sebuah ekonomi yang amat terbuka, dijangka akan menerima kesan penuh cabaran makro dalam tempoh 12-18 bulan akan datang dan ini akan menghadkan aliran kenaikan keuntungan bagi bank-bank berkenaan.

Ekonomi Singapura berkembang dengan hanya 0.1 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua, mencerminkan kelembapan ketara berbanding pertumbuhan 1.1 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya, kata Duan.

Perbankan digital datang tepat pada masa iaitu dalam iklim penjimatan kos dan keuntungan yang agak terhad. Pengawal selia Malaysia dijangka akan menyerahkan lesen perbankan digital yang pertama di negara ini dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

Ini akan membolehkan kumpulan teknikal serta telekomunikasi tempatan seperti Grab Holdings Inc dan Axiata Group Bhd untuk bersaing secara terus dengan pihak bank dalam memberi pinjaman dan mengambil deposit, tanpa perlu mengadakan rangkaian cawangan yang biasanya menelan kos.

Gergasi peneraju teknologi terkemuka antarabangsa seperti Alibaba Group dan Tencent Holdings, yang sudah pun mempunyai bahagian pasaran pembayaran digital yang signifikan di Malaysia, juga boleh menjadi pencabar kepada bank di Malaysia. Kedua-duanya telah terbukti sangat kompetitif dalam perkhidmatan kewangan digital di China.

“Kumpulan teknikal mempunyai potensi untuk bersaing dengan pemberi pinjaman tradisional dalam hampir semua bidang dalam perbankan runcit. Untuk menangani ancaman ini, bank-bank sedia ada perlu melabur secara besar-besaran dalam teknologi,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This