Sumbang mahram dengan anak tiri, peniaga warung dipenjara 15 tahun dan 19 sebatan

Sumbang mahram dengan anak tiri, peniaga warung dipenjara 15 tahun dan 19 sebatan

SEREMBAN,. Seorang peniaga warung dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan sumbang mahram dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap anak tirinya sejak dua tahun lepas.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 29 Dis lalu..

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan sumbang mahram dan penjara lima tahun serta satu sebatan bagi kesalahan seks luar tabii dan memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.

Mengikut tiga pertuduhan sumbang mahram, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya ketika kejadian berusia 12 tahun di sebuah rumah di Jempol, kira-kira jam 8 malam dan 2 pagi, antara 1 Januari hingga 31 November 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah warung di Jempol, pada jam 8 malam, antara 11 April 2021 hingga 10 Disember lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii di warung sama pada 8 malam pada 11 April 2021 mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu dirogol sebanyak enam kali oleh bapa tirinya sepanjang tempoh berkenaan dengan kali terakhir pada 10 Dis lepas.

Mangsa merupakan anak hasil perkahwinan pertama ibunya yang berusia 48 tahun sebelum berkahwin dengan tertuduh pada 2014.

Mangsa hanya memaklumkan kejadian berkenaan kepada kakaknya pada 25 Dis lepas kerana takut kepada tertuduh sebelum dibawa membuat laporan polis empat hari kemudian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This