Sunway Malls tawar waktu kerja fleksibel kepada peruncit

Sunway Malls tawar waktu kerja fleksibel kepada peruncit

KUALA LUMPUR,. Berikutan perniagaan dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sunway Malls membenarkan peruncit bukan dalam kategori perkhidmatan penting untuk memendekkan masa operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan menerusi kenyataan berkata kumpulan itu menjangkakan tempoh yang panjang diperlukan sebelum perniagaan pulih sepenuhnya.

“Kami faham bahawa normal baharu dari segi jarakan sosial dan ketiadaan perhimpunan besar-besaran akan memberi kesan besar untuk tiga bulan pertama pasca PKP. Menyedari ini, kami harus memberikan sedikit fleksibiliti perniagaan kepada rakan perniagaan kami,” katanya.

Ini juga sejajar dengan gesaan persatuan peruncit sebelum PKP, untuk memendekkan waktu operasi perniagaan bagi menguruskan aliran tunai mereka.

Menurut kenyataan itu, disebabkan perniagaan memerlukan masa untuk kembali pulih seperti biasa sejajar dengan keyakinan masyarakat akan kembali secara beransur-ansur, langkah itu akan membolehkan peruncit mengurangkan kos operasi mereka untuk membantu melindungi dan mengekalkan aliran tunai peruncit untuk beberapa bulan akan datang.

Sunway Malls akan memulakan projek perintis waktu kerja fleksibel selama sebulan dan jika terbukti berkesan, waktu fleksibel itu akan dilanjutkan selama dua bulan lagi dan langkah itu akan membolehkan peruncit memilih sama ada untuk beroperasi selama lapan jam sehari berbanding 12 jam sebelum PKP.

Pengurangan empat jam waktu perniagaan setiap hari akan membolehkan penjimatan kumulatif 30 hari iaitu sebanyak 120 jam, waktu operasi lebih pendek juga boleh mengoptimumkan pekerja lebih baik daripada dua syif waktu kerja kepada satu syif dengan pasaran menganggarkan penjimatan bayaran 35 peratus dalam aspek pembayaran gaji pekerja dan 15 peratus bagi aspek sewaan.

Berdasarkan jangkaan penjimatan satu perempat daripada 35 peratus, yang jumlahnya 8 peratus, adalah bersamaan dengan nilai penjimatan sewa bagi tempoh setengah bulan.

Sunway Malls, bagaimanapun, akan terus beroperasi seperti biasa dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk peruncit penting seperti pasar raya, farmasi, kedai serbaneka dan kedai makanan dan minuman (F&B) bagi memastikan orang ramai sentiasa mendapat akses kepada keperluan bekalan mereka.

Kumpulan itu juga akan menambah operasi nyahkuman dan pemeriksaan suhu badan dalam pasca PKP untuk mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi di semua pusat beli-belah kumpulan itu dan memastikan ia selamat untuk pengunjung, rakan niaga dan pekerjanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This