Swimlane tubuh pangkalan serantau di Malaysia, perkukuh analisis dan automasi keselamatan siber di Asia Pasifik

Swimlane tubuh pangkalan serantau di Malaysia, perkukuh analisis dan automasi keselamatan siber di Asia Pasifik

KUALA LUMPUR,. Swimlane, peneraju dalam bidang automasi keselamatan low-code, merancang untuk membuka pangkalan serantaunya di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik dengan CyberSecurity Malaysia, untuk memperkukuh ekosistem siber di rantau ini.

Swimlane berkata kedua-dua pihak telah mengenal pasti tiga inisiatif utama sebagai sebahagian daripada pakatan strategik itu termasuk memacu kesedaran mengenai cara automasi operasi keselamatan boleh membawa nilai kepada organisasi serta pembangunan kemahiran dalam negara.

Ia menambah kerjasama itu turut membabitkan pengenalan teknologi untuk membantu rakan kongsi sedia ada dan yang baharu seperti GlobeOSS Sdn Bhd dalam membangunkan penyelesaian dan perkhidmatan automasi dan analisis keselamatan untuk pasaran serantau.

Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane Cody Cornell berkata peluasan syarikat ke rantau Asia Pasifik bermatlamat untuk sama-sama menyumbang pengetahuan dan kepakaran ke arah perlindungan organisasi, di samping mengurangkan kerja dan kos pemilikan dalam mencapai matlamat keselamatan yang sebelum ini dianggap mustahil.

“Hari ini, setiap firma merupakan firma teknologi dan pada masa yang sama, soal keselamatan memberi kesan yang amat besar kepada perniagaan dan keuntungan, dan ini menjadikan keselamatan siber satu faktor penting di seluruh syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata kerjasama strategik dengan Swimlane ini adalah tepat pada masanya bagi CyberSecurity Malaysia kerana ini akan membantu mengukuhkan dan meluaskan visi keselamatan siber strategik di rantau ini.

“Sebagai pusat keselamatan siber dan teknikal negara, CyberSecurity Malaysia mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia turut akan membawa teknologi maju, kebolehan dan kapasiti kepada Malaysia dalam memastikan persekitaran siber kita kukuh, selamat, dan boleh dipercayai,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This