Tempoh penamaan calon perlu dipanjangkan – pengerusi ERC

Tempoh penamaan calon perlu dipanjangkan – pengerusi ERC

KUALA LUMPUR,. Tempoh penamaan calon yang kini hanya satu jam perlu dipanjangkan bagi memberi kemudahan kepada bakal calon pada sesuatu pilihan raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau berkata perkara tersebut merupakan antara 15 agenda reformasi yang dikemukakan ERC bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini supaya lebih telus dan tersusun.

“Kita perlu buat sesuatu yang tidak menyusahkan dan memberi kemudahan kepada mereka yang mahu menjadi calon. Tidak sesuai masa sekarang ini kita bagi mereka satu jam sahaja…dalam satu hari pergi berebut ke penamaan calon dengan membawa penyokong ramai bersorak serta membuat provokasi.

“Tidak ada lagi negara buat macam kita, jadi ERC kemukakan perkara ini supaya penamaan boleh dibuat dalam masa lima hari misalnya. Oleh itu, bakal calon mempunyai banyak masa dan boleh senyap-senyap pergi masuk dan daftar diri mereka,” katanya semasa menjadi tetamu dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.

Beliau berkata antara lain yang boleh dilakukan ialah dengan memberikan kemudahan kepada bakal calon untuk mendaftar diri secara dalam talian.

“Oleh itu, mereka tidak perlu datang ke tempat penamaan calon, di rumah sahaja dia boleh taip dan daftar masuk sebagai calon dan selepas empat kelima hari barulah dipamerkan kepada umum,” katanya.

Justeru, katanya ia akan memastikan proses berkenaan menjadi lebih teratur dan tenteram serta lebih demokratik.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata ada juga cadangan supaya pengumuman tarikh pilihan raya umum dilakukan enam bulan lebih awal seperti yang diamalkan di negara-negara maju.

Jelasnya, ia akan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persediaan dan mengelakkan pembaziran manakala parti politik yang bertanding pula bersedia mencari dana bagi pilihan raya tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This